Pemimpin politik dikenal pasti putar belit kenyataan PM: Annuar

Iklan
Annuar Musa ketika sidang media selepas sesi Dewan Rakyat di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pemimpin parti politik telah dikenal pasti menyebarkan sebahagian petikan video mengelirukan yang cuba memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat berhubung penggunaan minyak peket bersubsidi oleh ‘Makcik Goreng Pisang.’

Iklan
Iklan

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, individu yang menyebarkan petikan video itu menerusi akaun media TikTok miliknya telah dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Kita telah meminta SKMM mengambil tindakan susulan mengikut saluran dan peraturan yang biasa.

Iklan

"... saya percaya ahli Parlimen semuanya mengikuti dengan baik (jawapan Perdana Menteri pada Isnin) dan ahli Parlimen semua tentunya gembira dengan penjelasan yang jelas diberikan oleh Perdana Menteri, ini dibuat oleh mereka yang bukan ahli Dewan Rakyat," katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini pada Selasa.

Pada Isnin, di Dewan Rakyat, ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan kaya, Ismail Sabri berkata minyak masak peket adalah untuk kegunaan domestik tetapi terdapat peniaga termasuk peniaga kecil yang turut menggunakannya.

Iklan

Annuar berkata, sebahagian petikan video yang disebarkan individu tersebut adalah bertentangan dengan jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri pada Isnin.

Katanya, penyebaran petikan video itu adalah menyalahi peraturan dan undang-undang iaitu cuba menyebarkan berita dalam bentuk separa benar dan mengelirukan kerana diambil sedutan yang membawa makna yang berlainan daripada maksud sebenar.

"Kita faham, itu barangkali bagi tujuan politik untuk menanam kebencian dan untuk menghakis keyakinan rakyat seolah-olah Perdana Menteri tidak prihatin atau pun mengambil sikap anti (kepada) penjaja-penjaja kecil, sebaliknya penekanan Perdana Menteri adalah sebaliknya.

"...saya berharap amalan yang seperti ini tidak diteruskan kerana ia adalah secara sengaja memesongkan fakta dan perbuatan untuk kita menyebarluaskan berita yang tidak benar itu adalah satu kesalahan," katanya menambah tindakan susulan perlu diambil kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

Selain itu, Annuar berkata kerajaan akan memberi keutamaan mengambil tindakan yang tegas kepada kesalahan berskala besar bagi minyak masak bersubsidi seperti penyeludupan dan penyalahgunaan yang lain.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi berkata kerajaan akan memastikan penyalahgunaan minyak masak bersubsidi secara meluas oleh penyeludup dan syarikat-syarikat besar dapat dibendung dengan kerjasama penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Jawapan Perdana Menteri (Isnin) jelas dengan menyatakan kerajaan perlu mengambil pendekatan yang memberikan perhatian kepada tindakan yang tidak menyusahkan kelompok peniaga-peniaga kecil," katanya. - Bernama