IPOH - Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) yang ditubuhkan pada tahun 2003 dibubarkan secara rasmi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.
Keputusan itu dilaksanakan selepas Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (Pembubaran) 2022 diluluskan secara sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada bacaan kali kedua dan ketiga.
Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (Pembubaran) 2022 itu dibentangkan bertujuan memansuhkan Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak 2003 [Enakmen Bil. 2 Tahun 2003] dan Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (Pindaan) 2010 [Enakmen A17].
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) itu berkata, asas-asas yang dipertimbangkan bagi pembubaran perbadanan itu dibuat memandangkan kesemua aktiviti teras perbadanan telah diambil alih oleh PKEINPk Sdn Bhd (PSB) dan perbadanan sedia ada hanya sebuah entiti yang tidak lagi aktif.
Menurutnya, PSB sebuah syarikat milik penuh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang bermodal saham RM20 juta ditubuhkan di bawah subseksyen 9 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 melalui Resolusi Pekeliling Bil. 01/2012 bertarikh 22 Mac 2012.
"Susulan penubuhan PSB, kesemua aktiviti teras perbadanan telah diambil alih oleh PSB sementara perbadanan hanya terlibat dalam urusan pentadbiran dan menjadi entiti yang tidak aktif atau dormant tetapi masih mempunyai ahli lembaga pengarah dan pengurus besar serta setiausaha tersendiri.
"Walaupun perbadanan tidak lagi aktif, perbadanan masih perlu membayar cukai dan mematuhi kehendak serta ketetapan yang termaktub dalam Enakmen Bil. 2 Tahun 2003 termasuklah mengadakan mesyuarat secara tetap, pengauditan akaun serta penyediaan laporan aktiviti perbadanan pada setiap tahun yang perlu dibentangkan kepada MAIPk dan Dewan Negeri," katanya ketika membentangkan RUU tersebut pada Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Saarani berkata, cadangan pemansuhan Enakmen Bil. 2 Tahun 2003 dan Enakmen A17 selaras dengan ketetapan Persidangan MAIPk Kali Ke-220 bertarikh 27 Januari 2022.
Menurutnya, anggota MAIPk bersetuju terdapat kewajaran serta asas yang kukuh untuk menggulung dan membubarkan perbadanan mengikut Seksyen 21 Enakmen Bil. 2 Tahun 2003 dengan ketetapan bahawa ia tertakluk kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kesemua aset perbadanan diserah serta diwakafkan kepada MAIPk.
Beliau berkata, warga kerja perbadanan juga telah dipindahkan perkhidmatannya ke PSB melalui Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Pemindahmilikan Perniagaan bertarikh 14 Februari 2013 malah pembubaran perbadanan tersebut juga tidak melibatkan sebarang perbelanjaan tambahan kepada kerajaan negeri.
Perbahasan RUU tersebut melibatkan empat ADUN iaitu Mohd Zaidi Aziz (BN-Slim), Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi), Datuk Khairuddin Tarmizi (BN-Hutan Melintang) dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Amanah-Sungai Rapat).