Najib didakwa cuai, AMK buat laporan polis

Iklan
AMK Pusat diwakili Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim (tengah).

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia dan AMK Selangor membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 bilion daripada waris kesultanan Sulu.

AMK Pusat diwakili Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim manakala AMK Selangor diwakili, Timbalan Ketua Cabang AMK (Keadilan) Shah Alam, Najwan Halimi diiringi kira-kira 30 ahli dan penyokong mereka.

Iklan
Iklan

Muhammad Kamil berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan tindakan terhadap Najib dapat diambil mengikut peruntukan kanun jenayah yang sedia ada.

"Laporan ini juga dibuat bagi memastikan seorang penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau menjelaskan terdapat Akta 574 dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395).

Tambahnya, akta dan peraturan itu boleh diguna pakai dalam menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan Ahli Parlimen Pekan itu dalam menangani isu berkenaan.

Iklan

Sementara itu, Mohd Najwan pula berkata, sebelum itu, waris kesultanan Sulu membuat tuntutan selepas pentadbiran negara yang diketuai Najib membuat keputusan menghentikan bayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu pada tahun 2013.

Najwan (tengah) diiringi ahli dan penyokongnya.

Menurutnya, keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia.

"Notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada pentadbiran beliau pada 2 November 2017 semasa Najib masih menjadi Perdana Menteri.

"Sekiranya Najib tidak cuai dalam menjalankan tugas pasti beliau (Najib) telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin AMK terbabit turut menzahirkan rasa kecewa terhadap Speaker Dewan Rakyat Sabah yang tidak membenar usul berkaitan tindakan waris kesultanan Sulu dibawa untuk dibahaskan.

Mereka terkilan dengan kecewa tindakan speaker Dewan Rakyat Sabah yang mengetepikan hak ahli Parlimen (Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) untuk mengusulkan perkara yang begitu penting terkait dengan kedaulatan.

Sehubungan itu, dua pemimpin muda terbabit berharap agar Parlimen atau Speaker dapat menerima dan membenarkan ahli-ahli Parlimen untuk membahaskan isu kedaulatan negara tersebut.