KUD 2019 bawa nafas baru

Iklan
Rina diiringi Afif (dua dari kiri) merasmikan KUD 2019 di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kelmarin

Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019 kembali. Tetapi kali ini, KUD 2019 memilih Tasek Gelugor di Pulau Pinang sebagai lokasi pertamanya. Di Zon Utara 1 ini, karnival diadakan di Midtown PERDA selama empat hari bermula 29 Mac dan berakhir hari ini.

Bagi tahun 2019, penganjuran KUD yang diprogramkan di lima lokasi, tampil dengan mesej dan objektif baharu kepada golongan usahawan dan pengunjung.

Iklan
Iklan

Perkara itu dinyatakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang hadir pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019 Zon Utara 1, semalam.

Rina meluangkan masa berbual dengan usahawan yang terlibat dalam KUD 2019 Zon Utara 1

Iklan

Apa pembaharuan yang dilakukan kali ini?

KUD 2019 di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ini diwujudkan untuk memperkukuh dan meluaskan jaringan antara usahawan luar bandar dengan para pembekal mesin, peralatan, teknologi dan inovasi terkini bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti produk dan perkhidmatan mereka.

Iklan

Golongan usahawan desa ini juga mahu diberi pendedahan untuk menggalakkan penerimaan dan penggunaan teknologi moden sekali gus menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli selain mengadakan jualan secara terus kepada pengguna.

Mereka yang menyertai KUD tahun ini juga diberi peluang meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta menerokai peluang pasaran baharu yang lebih besar sama ada dalam atau luar negara dengan pengurusan pemasaran secara sistematik.

Rina diberi penerangan tentang produk yang dijual di KUD 2019 Zon Utara 1

Apa yang menarik di KUD 2019? Anda disajikan dengan pelbagai tarikan daripada 218 pempamer yang menyertai KUD Zon Utara 1. Sebanyak 162 gerai usahawan desa, dua gerai pembiayaan, 10 gerai makanan dan minuman serta 10 pempamer mesin menyertai karnival itu.

Terdapat juga lapan gerai inovasi, 20 trak makanan, minuman dan perkhidmatan serta enam gerai berkonsepkan ‘Rural Business Outlet’ di KUD Zon Utara 1.

Selepas Pulau Pinang, KUD 2019 akan ke lokasi kedua di Kuala Terengganu untuk Zon Timur selama tiga hari bermula 25 hingga 27 April ini.

Kemudian, KUD 2019 akan ke Kulim, Kedah untuk KUD Zon Utara 2 selama empat hari iaitu 27 hingga 30 Jun. KUD 2019 meneruskan destinasi ke Kota Kinabalu untuk Zon Sabah selama empat hari bermula 22 hingga 25 Ogos.

Peniaga teruja apabila gerai mereka dilawati Rina selepas perasmian KUD 2019 Zon Utara 1

Acara kemuncak KUD 2019 akan diadakan di Putrajaya selama lima hari iaitu dari 17 hingga 21 Oktober depan.

Anda, sama ada yang terlibat secara langsung sebagai usahawan desa ataupun pengunjung jangan lupa temui KUD 2019 di lokasi-lokasi yang dinyatakan ini.

Pelbagai aktiviti ada sepanjang berlangsungnya KUD ini antaranya promosi produk usahawan, perkongsian pengalaman usahawan, bicara usahanita, ‘business matching’, ‘pocket talk’ dan pertandingan inovasi produk.

"Melalui aktiviti ini, kita harap ia dapat memperkasakan usahawan dengan ilmu pengetahuan serta mencungkil usahawan yang berpotensi sehingga ke peringkat global, di samping menarik minat orang ramai untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Persembahan boria turut diadakan untuk menarik pengunjung ke KUD 2019 Zon Utara 1

Lebih menarik lagi, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan sepanjang berlangsungnya KUD 2019 di kelima-lima lokasi terbabit.

"Bersesuaian dengan tagline ‘KUD Sejahtera’, karnival ini bukan hanya memberi manfaat kepada usahawan malah kepada semua pengunjung yang hadir kerana pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan antaranya aktiviti seni budaya.

Apa lagi yang berbeza?

KUD 2019 berbeza daripada KUD yang terdahulu dan telah diperbaharui antaranya pameran dan jualan mesin inovatif

KUD kali ini turut menyediakan konsep ‘business matching’ dan forum serta pertandingan ‘business pitching’ untuk usahawan belia dan wanita.

REAKSI PENIAGA

Harisyah Mat Isa


Harisyah Mat Isa, Kepala Batas P.Pinang

"KUD bagus untuk kami sebagai usahawan menjana pendapatan selain dapat mempromosikan produk. Ia juga membuka ruang kepada usahawan untuk meneroka pasaran."

Mohd Izzuddin Md Salleh


Mohd Izzuddin Md Salleh, Dungun Terengganu

"KUD memberi peluang kepada usahawan mengetengahkan produk selain mendapatkan ejen. Ia juga sebagai satu platform untuk usahawan memperluaskan perniagaan. KUD patut diteruskan tahun seterusnya."

Nurul Najwa Mohd Noor


Nurul Najwa Mohd Noor, Sungai Dua, P.Pinang

"Dengan adanya KUD ini, usahawan dapat memperkenalkan perniagaan dan jenama kepada pelanggan. Secara tidak langsung, mereka dapat mengetahui lokasi sebenar kedai kami sekali gus dapat merancakkan lagi penjualan kami selepas karnival ini berakhir."