PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank antara tiga individu yang ditahan reman selama lima hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman dibuat oleh sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.
Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ketiga-tiga individu berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.
Iklan
Iklan
Menurut sumber, suspek wanita berusia dalam lingkungan 50-an bersama dua lagi suspek lelaki berusia 53 hingga 58 tahun ditahan pada jam 6 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin ketika hadir memberi keterangan.
"Suspek wanita tersebut dipercayai menerima wang rasuah berjumlah lebih RM24 juta sekitar tahun 2010.
"Suspek lelaki berusia 53 tahun itu pula yang kini bekerja sebagai perunding kewangan manakala rakannya tidak bekerja,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," katanya.