KUALA LUMPUR - Perkasa menyokong cadangan menyiarkan secara langsung kes perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Pengerusi Biro Integriti dan Anti Rasuahnya, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah berkata, rakyat Malaysia berhak mengetahui apa berlaku dalam perbicaraan yang diklasifikasikan berprofil tinggi dan penuh kontroversi.
Menurutnya, rakyat berhak mengikuti perbicaraan itu secara terbuka kerana kes tersebut melibatkan kepentingan rakyat dalam membuktikan skandal rasuah yang digembar-gemburkan sebelum ini.
"Kes ini juga sudah lama dijadikan modal politik oleh pihak tertentu sejak sebelum PRU14 lagi, rakyat ingin melihat sekiranya ada unsur-unsur politik di dalam perbicaraan kes ini yang boleh mengancam sifat integriti keputusan kehakiman yang akan diambil ke atas kes ini.
"Perkasa juga faham, tidak semua rakyat dari seluruh negara mampu hadir ke mahkamah dan galeri mahkamah pun kecil dan terhad untuk menampung bilangan kehadiran rakyat nanti, maka inisiatif siaran langsung pasti akan membantu rakyat untuk mengikuti perkembangan semasa perbicaraan kes ini secara terus dan tidak perlu bergantung kepada media sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Mohd Shahriman yakin tiada masalah akan timbul yang mungkin boleh mengganggu proses perbicaraan sekiranya siaran langsung itu dibuat.
"Apa lebih penting, proses perbicaraan dijalankan secara telus dan rakyat dapat menilai sendiri proses kehakiman yang berlangsung.
"Justeru itu, Perkasa sekali lagi menyokong dan bersetuju agar perbicaraan kes yang melibatkan Najib disiarkan secara langsung ke seluruh negara ini, bak kata pepatah, berani kerana benar, takut kerana salah,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Hanya mahkamah boleh tentukan kes Najib disiar secara langsung
ARTIKEL BERKAITAN: Duduk rumah boleh jadi sarkas?: Najib
Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan satu petisyen dalam talian yang dilancarkan sembilan bulan lalu mendesak perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu disiarkan secara langsung telah meraih 34,901 tandatangan.
Antara yang mendesak perbicaraan Najib disiarkan secara langsung adalah aktivis, Fahmi Reza, salah seorang pengkritik ahli Parlimen Pekan itu yang turut dikenali dengan lukisan Najib menyerupai badut.