53 CSO tuntut batal nyah warta Hutan Simpan Bukit Cherakah

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Sebanyak 53 organisasi masyarakat sivil (CSO) menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membatalkan penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah, di sini berdasarkan keputusan yang dibuat lebih 22 tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Organisasi alam sekitar, Treat Every Environment Special (TrEES) menerusi satu kenyataan memaklumkan gesaan dibuat menerusi kluster alam sekitar CSO Platform for Reform di Malaysia iaitu Biodiversity.Environment.Agroecology.Climate Change.Habitats (B.E.A.CC.H).

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan tersebut, walaupun kerajaan Selangor ketika itu berjaya mengeluarkan 406.22 hektar daripada Hutan Simpan Bukit Cherakah di sini pada tahun 2000, pihak tersebut gagal menyediakan tanah gantian yang sama besar dengan kawasan yang dikeluarkan sebagai hutan simpanan kekal.

"Dengan mengeluarkan Hutan Simpan Bukit Cherakah, kerajaan Selangor turut gagal mematuhi Seksyen 12 APN Selangor 1985, yang mana kerajaan sepatutnya menyediakan tanah gantian yang sama besar dengan kawasan yang dikeluarkan sebagai hutan simpanan kekal.

Iklan

"Di samping itu, kerajaan Selangor meminda enakmen perhutanan negeri pada tahun 2011 untuk mewajibkan sesi pendengaran awam dilaksanakan sebelum sebarang pengeluaran hutan simpan dilakukan yang diperuntukkan di bawah Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014," katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, TrESS turut memaklumkan kerajaan Selangor pada masa ini, di bawah Pakatan Harapan (PH) sepatutnya mengadakan sesi pendengaran awam mandatori, namun ia tidak dilaksanakan.

Iklan

Ujarnya, tindakan tersebut bermakna pengeluaran Hutan Simpan Bukit Cherakah melanggar undang-undang yang diperuntukkan.

"Keputusan muktamad mengenai pengeluaran mana-mana hutan simpan selepas sesi pendengaran awam dilaksanakan mesti dibuat oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Langkah ini membolehkan semua fakta penting didedahkan. Seterusnya, wakil rakyat boleh berbahas dan memutuskan perkara tersebut secara terbuka," katanya.

Dalam perkembangan lain, TrESS turut berkata kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah tidak sesuai untuk dijadikan tapak pembangunan kerana struktur bukit yang curam dan terdedah kepada hakisan tanah dan tanah runtuh.

Katanya, pertambahan kelodak di kawasan tersebut mungkin menyumbang kepada banjir kilat di hiliran, seperti yang dibuktikan melalui insiden banjir kilat yang melanda Baling, Kedah baru-baru ini dan banjir besar pada Disember 2021.

"Mengambil iktibar daripada semua peristiwa tragis baru-baru ini dan perubahan iklim yang semakin buruk, kerajaan negeri harus melakukan perkara yang betul dan membatalkan pengeluaran Hutan Simpan Bukit Cherakah.

"Pengeluaran ini tidak menguntungkan orang awam atau alam sekitar, terutamanya apabila kerajaan Selangor berhasrat untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada hutan simpannya, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Struktur Selangor 2035," katanya.