Polis terima 121 kes penipuan haji, kerugian RM5.17 juta

Iklan

KUALA LUMPUR - Polis menerima 121 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian RM5.17 juta.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tiga agensi berlainan itu membabitkan kes penipuan haji dan umrah furada.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, polis menerima sebanyak 121 kes di 10 negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh agensi-agensi pelancongan berkenaan.

"Ia membabitkan 48 laporan di Kuala Lumpur, Selangor (30), Pahang (18) dan masing-masing enam laporan di Johor, Perak, Kelantan, manakala tiga di Kedah, dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Terengganu dan Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Jelas beliau, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka daripada 121 laporan polis dibuat oleh mangsa.

"Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Kuala Lumpur iaitu RM2.07 juta diikuti Pahang (RM1.2 juta) dan Selangor (RM956,300).

Iklan

"Kelantan pula mencatatkan kerugian RM280,000; Perak (RM203,000); Negeri Sembilan (RM170,500); Johor (RM125,000); Kedah (RM48,000); Terengganu (RM38,000) dan Pulau Pinang (RM32,000)," katanya.

Pada 8 Julai lalu, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah dipetik berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Katanya, semua individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.