SHAH ALAM - Bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas kurang dikenali dan tidak bergaul dengan jiran tetangga.
Mohammad Bokhari Shariff, 76, yang merupakan pemilik sebuah pusat tahfiz di sebelah rumah Zalina Azman, 58, di Seksyen 3 di sini berkata, beliau tidak pernah bersemuka atau berselisih dengan wanita itu sejak beliau berpindah ke kediamannya beberapa tahun lepas.
"Saya lihat rumah itu sedang melalui proses pengubahsuaian yang seakan-akan diubah menjadi sebuah pejabat sehingga proses itu terhenti pada tahun lepas, sebelum polis datang menemui saya untuk mendapatkan maklumat berkenaan kehilangannya,” katanya.
Mohammad Bokhari yang tinggal di kawasan perumahan itu lebih 40 tahun berkata beliau hanya tahu bahawa Zalina Azman yang membeli rumah itu kerana pemilik asal rumah itu memberitahunya bahawa rumah itu dijual kepada saudaranya yang juga seorang personaliti televisyen.
"Namun saya rasa dia tidak pernah tinggal di situ cuma perasan ada sebuah kereta hitam mewah selalu parkir di rumah tersebut dan saya rasa kereta itu kepunyaan tuan rumah itu,” katanya kepada media di sini pada Selasa.
Tinjauan media di sekitar rumah Zalina Azman mendapati kawasan kediaman itu lengang dengan pembinaan pagar yang masih belum siap.
Seorang daripada jiran di hadapan rumah Zalina Azman yang enggan dikenali berkata anak lelaki penyampai berita itu pernah datang ke rumahnya pada tahun lepas bertanya sama ada beliau ada nampak ibunya di rumah tersebut, namun tidak mengulas lanjut.
Seorang wanita (juga enggan dikenali) berkata ibunya yang berjiran dengan Zalina Azman tidak mengetahui bahawa rumah tersebut dimiliki seorang personaliti televisyen sehingga berita kehilangan itu keluar malam tadi.
Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak lelaki Zalina Azman, Mikhael Norman, 33, berkenaan kehilangan ibunya pada 29 November tahun lepas.
Zalina Azman dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.
"Pada 29 November 2021, pengadu dan pakciknya sampai di rumah ibunya di Seksyen 3, Shah Alam dan mendapati kereta ibunya berada di rumah,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di rumah Zalina Azman yang dipercayai tinggal seorang diri mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun, namun mangsa tiada di rumah. - Bernama