KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyerahkan memorandum kepada Bank Negera Malaysia (BNM) untuk perhatian Gabenornya, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pada Selasa.
Memorandum diserahkan Naib Ketua Pemuda Gerakan, Ir Ong Kean Sing sebagai mewakili parti itu bagi mendesak BNM bertindak tegas mengekang jenayah 'scam' kecurian wang simpanan pengguna.
Katanya, memorandum juga sebagai tuntutan kepada BNM agar memberi penjelasan mengenai isu penipuan, kecurian wang simpanan yang dilaporkan berlaku melalui transaksi tidak sah di luar pengetahuan pemilik akaun.
"Sehubungan itu, langkah yang lebih komprehensif melibatkan pelbagai pihak perlu dilaksanakan selain hebahan di sosial media yang dibuat oleh pihak BNM.
"Paling utama adalah memberi keyakinan kepada pengguna bahawa akaun simpanan mereka dijamin dan tidak ada elemen kompromi," katanya ketika menyerahkan memorandum di BNM di ibu negara di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Speaker Pemuda Nasional Gerakan, Muruga Rajan Lingappan; Timbalan Ketua Penerangan Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Gerakan, Cooper Khoo Kuan Yiaw.
Kean Sing berkata, BNM perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa siasatan khas bagi mengenal pasti isu 'scam' dan hasil siasatan tersebut perlu dihebohkan kepada orang awam agar pengguna faham akan keparahan isu tersebut.
Dalam pada itu, Parti Gerakan juga memohon penjelasan adakah Transaction Authorisation Code (TAC) yang dimohon oleh pengguna semasa transaksi atas talian benar-benar selamat dan tidak boleh disalah guna oleh mana-mana pihak lain.
"Jika TAC mempunyai kelemahan sila nyatakan dan apakah langkah yang telah diambil oleh BNM untuk memastikan keselamatan ini.
"Perkara ini sangat membahayakan, tanggungjawab pihak BNM untuk memastikan keselamatan wang kami terutamanya golongan marhaen sudah pasti cukup terkesan sekiranya berlaku kes penipuan atau kecurian pada mereka.
"Parti Gerakan sebagai parti yang berpaksikan kebajikan rakyat sentiasa bersama mereka menunggu penjelasan BNM, solusi dan komitmen setiap pihak yang bertanggungjawab," katanya.
Sehubungan itu, Kean Sing berharap Gabenor BNM mengambil perhatian dalam perkara tersebut dan perlu bergerak bersama untuk membantu mangsa-mangsa kecurian wang simpanan ini.
"Pada masa yang sama Parti Gerakan juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh pihak BNM ketika proses penyerahan memorandum pada Selasa," katanya.