Video tular askar lakukan pendaratan payung terjun video lama

Iklan
Tular satu video di TikTok yang diambil dari saluran televisyen Indonesia menunjukkan tentera Malaysia mendarat di kawasan yang salah.

KUALA LUMPUR - Video yang tular di aplikasi TikTok menunjukkan askar Malaysia melakukan pendaratan payung terjun di lokasi yang salah merupakan video lama semasa Eksesais Latihan Gabungan Bersama Malaysia Indonesia Darat Samudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) pada 2013.

Markas Tentera Darat dalam kenyataannya memaklumkan, penerjunan itu dilakukan ketika eksesais berkenaan yang diadakan di Medan, Indonesia pada 7 hingga 12 Jun 2013 oleh penerjun dari Grup Gerak Khas (GGK) dan Tentera Darat dan Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat.

Iklan
Iklan

"Insiden berkenaan berlaku selepas pelepas yang merupakan anggota KOPASSUS telah melepaskan para penerjun ketika keadaan angin sedikit kencang yang menyebabkan kesemua penerjun GGK dan KOPASSUS tersasar dari kawasan pendaratan yang telah didaftarkan.

"Tentera Darat menyangkal kenyataan berita yang mengatakan hanya anggota GGK sahaja yang tersasar dari kawasan pendaratan sebaliknya melibatkan anggota-anggota kedua-dua buah angkatan,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak menularkan lagi video berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif terutama yang mempunyai unsur provokasi kepada negara Malaysia mahupun Indonesia.

Terdahulu, tular satu video di TikTok bertajuk ‘Tentera/Askar Terjun Payung Malaysia Salah Mendarat’ yang diambil dari saluran televisyen Indonesia menunjukkan tentera Malaysia mendarat di kawasan yang salah dan telah diselamatkan warga tempatan. - Bernama

Iklan