SABAH FC meraih tiga mata berharga apabila bangkit menewaskan Terengganu FC, 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.
Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan skuad The Rhino di tangga kedua Liga Super dengan 25 mata setelah mengharungi 12 perlawanan setakat ini.
Biarpun bermula baik dengan mengasak hebat ke gawang pelawat, namun Sabah FC ketinggalan 0-1 pada penghujung babak pertama hasil jaringan pemain import Terengganu FC, Manuel Ott pada minit ke-45.
Babak kedua menyaksikan Sabah FC mula menggandakan asakan dan hasilnya pemain import Korea Selatan, Tae-Su Park menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-72.
Jaringan berkenaan dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan Sabah FC untuk terus mengasak bagi menambah jaringan.
Hasilnya, Tae-Se Park sekali lagi menanduk masuk gol kedua pada minit ke-79 bagi mengukuhkan kedudukan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu pada perlawanan berkenaan.
Kedua-dua pasukan kemudiannya dilihat semakin hebat mengasak ke gawang lawan masing-masing dalam usaha menambah jaringan.
Bagaimanapun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan menyaksikan kedudukan 2-1 memihak kepada Sabah FC kekal hingga ke wisel penamat.