Adil, terbuka teliti isu tanam musang king di Gunung Inas

Iklan
Shaiful Hazizy

ALOR SETAR - Semua pihak diminta bersikap adil, terbuka dan berobjektif dalam meneliti isu banjir di Baling yang dikaitkan dengan penanaman musang king di Gunung Inas.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol berkata, isu terbabit juga diharap tidak dilihat atau dinilai secara separa dan tidak lengkap.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) berkata, kawasan Gunung Inas, Baling didakwa sangat berisiko dan memberi ancaman kepada kawasan sekelilingnya meskipun tanpa projek dan penanaman durian.

"Perkara ini mesti diperhalusi, disiasat dan diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan Kedah serta semua pihak termasuklah kerajaan Persekutuan. Pendedahan yang mencerminkan fakta dan keadaan sebenar mesti dibuat dengan telus serta lengkap.

Iklan

"Jika tidak, kita akan terlepas melihat punca sebenar. Tanpa mengetahui punca sebenar (iaitu penggondolan hutan dan pembalakan), isu sebegini akan terus berlaku dan kita akan terus melihat kepada perkara yang bukan menjadi punca masalah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shaiful Hazizy berkata, Ahmad Bashah juga telah bersuara dan menjelaskan pada Selasa bahawa idea asal penanaman musang king di Gunung Inas adalah dilakukan dengan matlamat jelas iaitu memulihara kembali kawasan hutan terbabit yang telah bertompok, gondol dan musnah teruk akibat pembalakan.

Iklan

"Ini bermakna, terdapat dua perkara penting yang sebenarnya melatari cadangan awal penanaman musang king.

"Pertama, kawasan tersebut sudah sedia gondol. Telah berlaku aktiviti pembalakan dan penggondolan hutan di situ jauh lebih awal di bawah kelulusan kerajaan negeri sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, penggondolan dan pembalakan tersebut telah menyebabkan kerosakan serta kemusnahan yang teruk kepada kawasan terbabit.

"Maka, apabila mewarisi hutan yang sedia gondol dan rosak, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri pada masa tersebut (Datuk Seri Ahmad Bashah) untuk mencari jalan menghijaukan semula bukit terbabit dan ia mesti dilakukan dengan segera serta besar-besaran.

"Sekiranya tidak, kawasan tersebut dirasakan akan terus rosak dan tidak akan pulih dengan sendirinya," katanya.

Beliau memaklumkan, atas dasar itu, kerajaan negeri bersetuju untuk menghijaukan kembali kawasan terbabit dengan projek penanaman semula pokok.

"Kedua, tanaman musang king menjadi pilihan kerana ia akan bersifat serampang dua mata iaitu berupaya menghijaukan kembali kawasan yang telah gondol dan pada masa yang sama berpotensi memberi pulangan kepada negeri," katanya.

Shaiful Hazizy berpandangan, ia bermakna isu ini mesti dilihat dengan lebih jauh dan bukan sekadar isu penanaman durian di kawasan bukit tetapi keadaan Gunung Inas yang telah dibiarkan rosak dan botak akibat penggondolan hutan serta pembalakan sebelumnya.

Beliau menegaskan, disebabkan itu, tanpa projek dan idea penanaman durian itu sekalipun, kawasan tersebut sudah terlalu berisiko memberi ancaman kepada kawasan sekeliling.