Warga emas tinggal di rumah pusaka hampir roboh

Iklan
Mansor terpaksa menggunakan buluh untuk menampung bumbung rumahnya daripada runtuh.

SEREMBAN - Kesempitan hidup menyebabkan seorang lelaki warga emas terpaksa tinggal di rumah pusaka peninggalan ibu bapanya di Kampung Blok C, Ampangan di sini yang hanya menanti masa untuk roboh.

Rumah yang dihuni Mansor Mohd Tahir, 66, itu bukan saja sudah reput dimakan anai-anai, malah sebahagian besar bahagian bumbungnya sudah rosak.

Iklan
Iklan

Malah ada bumbung yang dibiarkan berlubang kerana tidak mampu membaikinya menyebabkan acap kali dia 'kebasahan' setiap kali hujan.

Keadaan sekeliling rumah pula dipenuhi semak samun seolah-olah sudah lama ditinggalkan.

Iklan

Menurut Mansor, kali terakhir rumah pusaka itu dibaik pulih adalah pada tahun 2008, namun kembali bermasalah empat tahun selepas itu.

"Tahun 2018 dah dibaik pulih atas ihsan kerajaan negeri, tapi lama kelamaan bumbung rumah mula bocor semula dan atap rumah pula diterbangkan angin dalam kejadian ribut dan hujan lebat.

Iklan

"Saya tiada kemampuan nak baikinya sendiri kerana tidak lagi bekerja dan disebabkan tiada tempat tinggal lain, saya tinggal saja di rumah ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, dia pernah memohon bantuan membaik pulih rumah daripada pihak berwajib, namun tiada maklum balas diterima.

Apa yang membimbangkan Mansor ialah kehadiran haiwan berbisa yang memasuki rumahnya, namun setakat ini tidak pernah kejadian tidak diingini menimpanya.

"Sudah tiga kali ular sawa dan tedung masuk ke dalam rumah, tapi mujurlah saya tidak apa-apa.

Ruang tamu menjadi tempat Mansor memasak.

"Nasib saya tinggal dalam keadaan begini ketika di usia tua. Kawan-kawan pun terkejut bila datang tengok keadaan rumah saya begini," katanya.

Menurut Mansor, dia tidak pernah berkahwin dan hanya mengharapkan bantuan kewangan daripada adik beradiknya untuk meneruskan hidup.

Bagaimanapun katanya, dia memahami kesemua mereka yang mempunyai kehidupan sendiri tidak mampu berterusan membantunya.

"Saya sebenarnya segan nak minta bantuan, tapi duit simpanan dah habis dan sekarang saya hanya fikirkan untuk baik pulih rumah ini saja.

"Sekarang saya terpaksa letak kayu buluh buat sementara waktu untuk tampung bumbung rumah ini daripada runtuh," katanya.

Jelasnya, pihak Baitulmal ada datang melawatnya pada Isnin selepas masalah dihadapinya dilaporkan oleh Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih (Perkasih N9).

Sesiapa yang berhasrat untuk membantu boleh menghubungi Mansor di talian 019-2565199.