SELEPAS berminggu-minggu rakyat menyaksikan pemimpin di Kedah saling tuding-menuding jari, akhirnya teka-teki mengenai ladang musang king di Gunung Inas, Baling terjawab.
Bekas Menteri Besar Kedah daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Selasa mengaku beliaulah MB yang telah meluluskan projek ladang pertanian musang king.
Namun, kata Ahmad Bashah, beliau membuat keputusan memberi persetujuan bagi projek ladang musang king bukanlah untuk menggondol hutan di Gunung Inas.
Dakwa beliau yang menjadi MB antara tahun 2016-2018, ladang tersebut yang kemudian dijenamakan sebagai Ladang Sejahtera adalah demi menyelamatkan Gunung Inas.
Ini kerana pada waktu itu, balak-balak di Gunung Inas sudah ditebang, digondol dan diambil hasilnya.
Pendedahan Ahmad Bashah bagaikan membongkar satu demi satu kecuaian dan kesilapan perancangan pemimpin kita dalam pengurusan hutan. Ramai aktivis alam sekitar mengkritik keras tindakan beberapa kerajaan negeri yang menjadikan balak sebagai sumber pendapatan.
Menurut mereka, sejak 2007, pembangunan pesat ladang hutan di hutan simpan menjadi salah satu punca utama kehilangan hutan di Semenanjung Malaysia.
Ladang hutan disebut-sebut sebagai cara lebih berkesan mengurangkan tekanan ke atas hutan asli.
Terdapat sembilan jenis pokok dicadangkan sebagai ladang hutan; antaranya acacia, batai, buluh, teak, sentang dan getah.
Bagaimanapun, kesilapan Kedah tidak lain dan tidak bukan apabila menggantikan ladang getah dengan durian.
Perkara itu turut diakui bekas MB Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang memaklum kerajaan BN telah menukar tanaman pokok getah klon balak kepada durian musang king.
Aktivis alam sekitar sejak sekian lama menegaskan, pokok durian bukanlah pengganti pokok balak. Ini kerana, sebagai pokok monokultur atau pokok komersial, ia memerlukan pestisid, racun dan baja untuk mendapat hasil yang cepat.
Apatah lagi ditanam di tempat tinggi, pestisid ini masuk ke dalam tanah dan sungai untuk mencemar sungai. Dan lebih buruk sifat pokok monokultur tidak memegang tanah, tidak seperti pokok hutan. Akhirnya kini kita sedang menderita hasil daripada kesilapan demi kesilapan kita menguruskan hutan.
Benarlah kata Ebiet G Ade dalam lirik lagunya Berita Kepada Kawan - 'Barangkali di sana ada jawabnya, mengapa di tanahku terjadi bencana'.