PEMAIN sayap Bayer Leverkusen, Moussa Diaby membuat keputusan untuk terus beraksi bersama kelab berkenaan dengan menolak tawaran beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United baru-baru ini.
Menurut Diaby, dia membuat keputusan berkenaan kerana mahu membantu Leverkusen mengharungi saingan musim baharu Bundesliga, tidak lama lagi.
"Saya telah membuat keputusan untuk terus beraksi bersama Leverkusen pada saingan musim baharu nanti.
"Saya juga berazam memberikan aksi terbaik bersama Leverkusen bagi mengatasi pencapaian pada musim lalu,” katanya.
Untuk rekod, pemain berusia 23 tahun itu menyertai Leverkusen dari Paris Saint-Germain pada musim 2019 lalu.
Selama beraksi dengan Leverkusen, Diaby melakukan 124 penampilan dalam semua pertandingan.
Diaby yang memiliki kontrak sehingga 2025 turut menjaringkan 13 gol (termasuk 12 assists) bagi membantu Leverkusen menamatkan saingan Bundesliga pada kedudukan ketiga terbaik.
Sementara itu Diaby mendedahkan bahawa dia berazam terus membantu kejayaan Leverkusen pada musim baharu saingan Bundesliga nanti dengan menjaringkan lebih banyak gol termasuk 'assists' kepada rakan-rakan sepasukan.
"Secara keseluruhannya, pada musim baharu nanti, saya mahu membantu rakan-rakan sepasukan melakar lebih banyak kejayaan.
"Kami akan menjadikan Leverkusen sebagai sebuah pasukan disegani dalam saingan Bundesliga,” katanya.