PENGACARA, pelakon dan juga pelawak, Jihan Muse, tidak mahu bersikap hipokrit hanya kerana mahu dilihat baik di depan mata orang lain.
Jelas selebriti berusia 36 tahun ini, meskipun sudah tampil bertudung, namun dia tidak mahu mengehadkan perilaku dirinya untuk memuaskan hati orang lain.
"Sejak dahulu lagi, setiap tindak tanduk atau cara saya mengendalikan sesebuah acara, tidak dirancang.
"Ia berlaku secara semula jadi dan apa yang orang lihat itulah saya. Saya lebih suka menjadi diri sendiri walaupun kini sudah tampil bertudung.
"Bagi saya, biarlah perubahan itu berlaku secara perlahan-lahan, daripada saya berubah secara drastik tapi ia bukan diri saya.
"Saya anggap apa yang berlaku sekarang (bertudung) sebagai masa untuk memperbaiki diri dan saya mulakan dengan pemakaian.
"Cara bercakap atau tindak tanduk saya masih sama, saya hanya go with the flow. Perlahan-lahan saya rasa apa yang perlu dikurangkan, saya akan buat sendiri nanti," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Jihan akan bergandingan bersama Nabil Ahmad dan Neelofa, mengendalikan Anugerah MeleTOP Era, yang akan berlangsung 21 April depan.
Turut sama tercalon dalam kategori Pelawak MeleTOP dan Pengacara MeleTOP serta Couple MeleTOP bersama suami, Ungku Hariz, Jihan bagaimanapun tidak meletakkan sebarangan sasaran untuk memenangi mana-mana anugerah.
Sementara itu, ditanya tawaran selepas bertudung, ibu kepada Ungku Arsalan Haq ini berkata, tidak ada perbezaan yang dirasai setakat ini.
"Saya rasa sejak ramai artis bertudung kini, ia tidak menjadi satu masalah lagi.
"Ada sahaja tawaran yang saya dapat, cuma ada juga yang saya terpaksa tolak kerana ketidaksesuaian watak.
"Tapi alhamdulillah, setakat ini rezeki tidak putus," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN : Sedang belajar untuk menutup rambut: Jihan Muse