TONGGAK pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt sah menjadi milik Bayern Munich selepas pemain itu melengkapkan perpindahan €67 juta (RM305.10 juta) dari Juventus dengan yuran itu berpotensi meningkat sebanyak €10m (RM45.54 juta) lagi berdasarkan prestasinya.
Pemain berusia 22 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Munich yang menyaksikan dia akan kekal sekurang-kurangnya hingga tahun 2027.
"Saya sangat gembira untuk menjadi pemain kelab terbaik di dunia. Seperti yang kita tahu Bayern merupakan kelab paling berjaya di Jerman dan merupakan salah satu pasukan paling berjaya di Eropah mahupun dunia.
"Saya sangat menghargai usaha pihak pengurusan, jurulatih dan ahli lembaga kelab ini yang berjaya meyakinkan saya untuk menyertai kelab ini sejak awal lagi.
"Saya sangat gembira kerana saya kini menjadi sebahagian daripada Bayern dan berharap dapat membantu kelab ini lebih berjaya di masa akan datang,”katanya.
Untuk rekod, de Ligt yang berpindah ke Juventus dari Ajax pada 2019, telah membuat 117 penampilan bersama kelab Itali itu, dan berjaya membantu Bianconeri memenangi gelaran Serie A pada musim 2019-20 dan Piala Itali pada musim seterusnya.
Bagaimanapun, Juventus bergelut pada dua musim terakhir, apabila pasukannya itu menduduki tempat keempat dalam liga dan tergelincir daripada perebutan kejuaraan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn berkata, beliau percaya de Ligt bukan sahaja mempunyai kualiti sebagai seorang pemain hebat, namun memiliki karakter untuk memimpin pasukan.
"De Ligt berjaya menarik perhatian dunia bukan sahaja dengan kualiti permainan yang ditunjukkan, malah dia mempunyai karakter untuk memimpin pasukannya sendiri.
"Pasukan yang kuat bukan sahaja memerlukan serangan yang kuat, tetapi mereka memerlukan barisan pertahanan yang ampuh.
"Jadi dengan pemindahan ini, kami benar-benar meningkatkan pertahanan kami peringkat teratas,”ujarnya.