KUALA LUMPUR - Langkah Lembaga Tabung Haji (TH) memindahkan aset-asetnya kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kerajaan iaitu, Urus harta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) bertujuan menutup jurang defisit yang dialami TH.
Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, langkah ini merupakan langkah terbaik yang dikenal pasti bagi membantu meningkatkan TH.
Iklan
Iklan
"Di samping mengambil kira kedudukan fiskal kerajaan yang terbatas, pemindahan aset yang dilakukan pada nilai pemindahan yang lebih tinggi pada RM19.9 bilion berbanding nilai semasa keseluruhan aset yang berjumlah sekitar RM10 bilion dibuat bertujuan untuk memulihkan kedudukan kewangan nilai liabiliti.
"Supaya nilai aset dapat melebihi dan mengimbangi rosot nilai sekitar RM1.5 bilion yang perlu direkodkan bagi tahun 2018," katanya ketika menggulung titah Yang Di Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.
Justeru itu, katanya, dapat dinyatakan bahawa semua inisiatif dan langkah yang diambil ini sebenarnya memanfaatkan para pendeposit dan membawa impak positif kepada kedudukan kewangan TH dalam membolehkan hibah diisiytiharkan mengikut Akta Tabung Haji 1995.
"Setelah pelaksanaan pemindahan aset ini, kedudukan kewangan TH pada penghujung tahun 2018 yang belum diaudit dijangkakan TH memiliki aset berjumlah RM76.5 bilion berbanding jumlah deposit dan tanggungan sebanyak RM75.5 bilion," katanya.
Baru-baru ini kontroversi tercetus mengenai SPV yang mengambil alih aset kurang bagus (non-performing assets) TH. Isu wujud kononnya SPV tersebut diurus oleh bukan Islam.