KUALA LUMPUR - SP Setia akan menganjurkan konsert Setia Live Out Loud di Setia EcoHill Walk, Semenyih, Selangor pada 3 September ini.
Konsert yang terbuka secara percuma kepada orang ramai itu dijangka menarik kehadiran 5,000 penonton dan ia bermula dari jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.
Ia diadakan bagi meraikan pembukaan rasmi Setia EcoHill Mall pada September dan pusat membeli-belah itu akan memberi perkhidmatan kepada lebih 600,000 penduduk di sekitar Semenyih, Selatan Cheras, Putrajaya, Kajang dan Bangi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, konsert itu diharapkan dapat memberikan tenaga baharu untuk dinikmati oleh orang ramai selepas lama dibelenggu oleh pandemik Covid-19.
"Kami percaya bahawa kehidupan perlu diraikan melalui program Setia Citizen,” katanya dalam sidang media di Setia International Centre di sini pada Selasa.
Konsert akan dihoskan oleh Baki Zainal dan Caely See sambil dihiburkan oleh barisan artis termasuk Datuk Zainal Abidin, Nicholas Teo, Priscilla Abby, Santesh, Hael Husaini dan kumpulan pop The15.
Konsert itu kini dibuka untuk tempahan tiket (secara percuma) mulai hari ini melalui https://liveoutloud.spsetia.com/ dengan pilihan berdiri bebas dan tempat duduk percuma berdasarkan siapa cepat dia dapat.
Maklumat mengenai konsert itu boleh diikuti melalui Setia Live Out Loud (@setialiveoutloud) di Facebook dan Instagram.