ANKARA - Turkiye berazam untuk membanteras pertubuhan pengganas di Syria yang mengancam keselamatannya, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik presiden negara itu pada Selasa.
"Kami berazam untuk menghapuskan kumpulan dari Syria yang menyasarkan keselamatan negara kami," kata Recep Tayyip Erdogan menjelang pertemuan tiga hala dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Iran, Ebrahim Raisi di Tehran, ibu negara Iran.
Beberapa pemimpin dunia berhimpun sempena sidang kemuncak ketujuh Astana untuk membincangkan perkembangan terkini di Syria, memerangi kumpulan pengganas, yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan serantau, situasi kemanusiaan dan penghantaran pulang rakyat Syria secara sukarela.
"Ia mesti difahami dengan jelas bahawa tidak ada ruang pada masa depan untuk keganasan pemisah dan kesinambungannya di wilayah kita," katanya.
Beliau berkata, Tal Rifat dan Manbij Syria telah menjadi 'sarang keganasan' dan sudah tiba masa membersihkan kawasan itu daripada cengkaman organisasi pengganas yang sedang mencari tapak yang selamat.
Menyifatkan Rundingan Astana mengenai Syria sebagai perjuangan yang berkesan dan konkrit, Erdogan berkata, Turkiye mengharapkan sokongan Rusia dan Iran untuk memerangi keganasan di Syria.
Penghantaran pulang secara sukarela dan selamat rakyat Syria ke tanah air mereka adalah agenda penting dalam proses Astana, kata Erdogan.
Beliau menggesa agar 'keputusan yang cepat dan konkrit' oleh Jawatankuasa Perlembagaan Syria mesti dipastikan kerana kegagalannya dilihat mencerminkan kegagalan proses Astana.
Rundingan Astana dilancarkan pada 2017 untuk memulihkan keamanan di Syria, yang dilanda perang saudara sejak awal 2011 apabila rejim Bashar al-Assad menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi.
Dalam perkembangan yang sama, Putin turut menekankan kepentingan menghapuskan semua kumpulan pengganas di seluruh wilayah Syria.
Beliau menegaskan bahawa usaha Rusia, Turkiye dan Iran untuk menyelesaikan krisis di Syria 'secara umumnya adalah berkesan'.
Putin berkata, penggunaan 'langkah konkrit' untuk mempromosikan dialog inklusif intra-Syria adalah tugas ketiga-tiga negara.
"Rusia komited teguh terhadap integriti wilayah dan kedaulatan Syria,” katanya.
Putin menuntut masyarakat dunia, termasuk struktur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memainkan 'peranan lebih penting' dalam menyelesaikan isu kemanusiaan di Syria dan 'mengelakkan proses itu dipolitikkan'.
Mengenai pembangunan Syria selepas konflik, beliau berkata, antara tugas utama negara penjamin proses Astana ialah pemulihan ekonomi Syria dan lingkungan sosial, penghantaran pulang pelarian antarabangsa dan domestik ke tempat asal mereka dan mewujudkan syarat untuk akses selamat dan tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan kepada yang memerlukan.
Putin juga mencadangkan untuk mengadakan sidang kemuncak Astana seterusnya mengenai Syria di Rusia dan mempelawa pemimpin Iran dan Turki menyertainya.
"Terima kasih kepada bantuan dan sokongan negara kita, tahap keganasan di Syria telah menurun dengan ketara, kehidupan aman mula kembali, dan ekonomi dan sosial secara beransur-ansur pulih,” katanya. - Bernama