Bersih 2.0 gesa ahli Parlimen sokong pindaan Akta Lompat Parti

Iklan
Thomas Fann

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa ahli Parlimen supaya menyokong pindaan Akta Lompat Parti yang akan dibentang dan digubal pada sidang Parlimen ketika ini.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, tanpa adanya Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang baik sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan memberi kesan kepada pengundi untuk keluar mengundi.

Iklan
Iklan

"Ini termasuk membawa kepada peratusan keluar mengundi rendah yang akan mengakibatkan kerajaan yang dipilih dapat mandat yang rendah.

"Selain itu, ia juga akan menghadapi kesukaran dalam pentadbiran dan pelaksanaan dasar-dasar penting untuk negara.

Iklan

"Justeru, ahli-ahli Parlimen harus menyokong pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan termasuk Akta Lompat Parti yang akan dibentang dan digubal dalam sidang Parlimen kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah ‘Apa Dah Jadi?’ yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Iklan

Antara panel yang hadir pada sidang akhbar tersebut Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh serta Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel.

Selain itu, Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM); Badlishah Sham Baharin dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan.

Dalam pada itu, Thomas berkata, untuk mempunyai undang-undang yang baik dalam menangani masalah lompat parti, ia harus berpandukan kepada tiga prinsip.

"Pertama, nadi demokrasi yang mana pilihan pengundi yang memilih wakil rakyat mereka untuk mewakili aspirasi mereka. Seorang wakil rakyat bertanggungjawab kepada pengundinya.

"Kedua, kebebasan berpersatuan yang merupakan asas dalam demokrasi dan kebebasan seorang wakil rakyat dalam demokrasi perwakilan untuk bebas menyatakan kehendak kolektif pengundi mereka.

"Ketiga, disiplin dalam parti. Ini penting bagi parti untuk melaksanakan janji pilihan raya, dasar dan membuat pendirian jelas sebagai pembangkang dalam isu kepentingan negara,” katanya.