IPOH - Penangguhan dan pembatalan projek pembangunan yang dilakukan kerajaan Pusat sebagai langkah penjimatan dalaman, tidak menjejaskan tumpuan kerajaan Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang disenaraikan itu hanya melibatkan projek yang belum dimulakan, bukan yang telah atau sedang dibangunkan.
"Itu pengumuman yang dibuat oleh menteri yang menjaga Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang mungkin dibuat kerana tapisan projek berasaskan peruntukan mereka.
"Tapi kita di Perak tiada masalah (dengan pengumuman) kerana projek yang telah dimulakan akan diteruskan. Yang lain (terkesan) mungkin projek-projek persekutuan," katanya pada sidang media selepas penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Pada 17 Julai lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan, semua projek pembangunan yang belum dimulakan akan ditangguh atau dibatalkan terus sebagai menyahut langkah penjimatan dalaman yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk 'Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam.
Satu mesyuarat telah diadakan dengan beberapa agensi berkenaan bagi mengenalpasti mana-mana projek yang berkaitan.
Sementara itu, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin menggesa kerajaan persekutuan dan negeri segera menyenaraikan projek-projek yang akan dibatalkan atau ditangguhkan.
Katanya, berdasarkan laporan sebelum ini dinyatakan nilai projek pembangunan di Perak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) merekodkan RM27.58 bilion melibatkan 1,389 projek.
"Agak-agak semua projek ini akan dibatalkan atau ditangguh? Ini semua selepas kenyataan menteri terlibat di mana projek bernilai RM27.58 bilion ini ada risiko ditangguh atau dibatalkan.
"Jadi kita nak tahu mana tangguh, mana batal dan saya rasa isu ini satu isu yang amat penting bagi Perak," katanya.