KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun tampil menjelaskan keputusan beliau untuk tidak membenarkan isu tuntutan waris kesultanan Sulu dibahaskan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak segala strategi dan perancangan kerajaan dalam mendepani kes yang masih berjalan di mahkamah itu diketahui pihak lawan.
"Kita sedang berbicara tentang tuntutan Sulu ini. Ada ex-parte order (yang mana) kita kena bayar AS$15 bilion. Mahukah kita berbincang dan sedang perbincangan itu berjalan (apabila dibahaskan) dan kita tidak tahu apa yang akan diperkatakan.
"Maka (dengan) itu terserlah strategi kerajaan untuk berbuat itu dan ini (kerana) akan adalah kritikan terhadap tindakan yang akan dibuat atau telah diambil kerajaan.
"Keadaan ini pastinya boleh membuatkan pihak satu lagi membacanya (strategi Malaysia).
"Apakah itu tidak akan merosakkan kepentingan kerajaan di dalam prosiding litigasi tersebut?" soalnya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Penjelasan itu diberikan Azhar Azizan susulan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali mempersoalkan keputusan beliau yang tidak meluluskan usul untuk membahaskan isu tuntutan waris kesultanan Sulu itu.
Tegasnya, Malaysia tidak seharusnya menunjukkan sebarang strategi bagi mengelakkan pihak lawan boleh mengambil sesuatu yang diperkatakan itu sebagai ‘peluru’ untuk mereka kerana strateginya juga sama seperti menghadapi peperangan di medan perang.
"Sekarang ini kita sedang pertahankan kedaulatan kita (walaupun) ada ahli berhormat yang kata tidak pertahankan (tetapi sebenarnya) kita sedang pertahankan. Kita sedang pertahankan dan kita (juga) sedang dedahkan strategi kepada orang lain.
"Mahukah kita berbuat begitu? Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk tidak membenarkan perkara ini (bahas tuntutan waris kesultanan Sulu di Dewan Rakyat),” katanya.
Pada Isnin, Isnaraissah Munirah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari susulan tindakannya mempertikai keputusan Azhar Azizan yang menolak usul yang dikemukakan.
Antara perkara yang dipertikaikannya adalah kelewatan kerajaan membuat permohonan untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris.