Polis akan rakam keterangan individu dakwa lihat Zalina Azman

Iklan
Zalina Azman dilaporkan hilang oleh anaknya pada 29 November tahun lalu. Gambar kecil: Mohd Iqbal

SHAH ALAM - Polis akan merakam keterangan seorang pengguna Twitter yang mendakwa ternampak wanita seperti personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, individu tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, semua petunjuk adalah negatif, ia termasuk kononnya ada individu ternampak Zalina Azman, namun semakan lanjut mendapati dia hanya gelandangan.

"Walau bagaimanapun, kita akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi persekitaran individu yang mendakwa ternampak Zalina Azman," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Sejak Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menyiarkan gambar Zalina Azman dan maklumat berkaitan dirinya, muncul hantaran beberapa pengguna dalam media sosial yang mendakwa ternampak wanita mirip bekas pengacara program Money Matters itu di lokasi sekitar Shah Alam seperti Seksyen 3, Seksyen 9 dan Seksyen 24 di sini.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya belum terima laporan daripada pihak yang membuat dakwaan sedemikian.

Iklan

"Kita tidak menerima sebarang laporan polis oleh orang awam selepas hebahan dibuat," katanya.

Antara dakwaan tular dalam media sosial ialah seorang wanita mirip Zalina Azman pernah dilihat mengunjungi sebuah restoran dengan seolah-olah berada dalam keadaan tidak sihat dan menggigil ketakutan, baru-baru ini.

Satu lagi dakwaan tular ialah kelibat wanita seperti Zalina Azman pernah dilihat di sekitar kawasan sebuah restoran makanan segera dengan membawa beg makanan dan beg pakaian, selain memakai kasut sukan dan hanya berjalan kaki, serta berkeadaan sangat kurus.

Pada Isnin, media melaporkan polis sedang giat mencari Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November, tahun lalu.

Ia susulan polis menerima laporan anak lelaki Zalina Azman, Mikhael Norman, 33, berhubung kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.

Zalina Azman dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November tahun lalu bagi memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital.

Justeru, Mohd Iqbal berkata, pihak polis membuat hebahan berkaitan kehilangan mangsa kepada umum bagi membantu siasatan kes terbabit.

Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam sebelum ini menyiarkan gambar Zalina Azman dan maklumat berkaitan iaitu berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan kurus dengan ketinggian 158 sentimeter.

Menerusi hebahan itu juga, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Zalina Azman agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-5519 4622.