DUN Perak cipta sejarah, lulus usul persendirian

Iklan
DUN Perak cipta sejarah meluluskan usul persendirian dibawa ADUN Behrang dari Amanah, Aminuddin Zulkipli mengenai kajian enakmen wasiat orang-orang Islam di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-enakmen Negeri Perak.

IPOH - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu mencipta sejarah apabila membentangkan dan meluluskan usul persendirian.

Usul berkenaan dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang dari Amanah, Aminuddin Zulkipli mengenai kajian enakmen wasiat orang-orang Islam di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-enakmen Negeri Perak.

Iklan
Iklan

Aminuddin ketika membentangkan usul berkenaan berkata, jawatankuasa berkenaan perlu diberi mandat untuk mengkaji keperluan menggubal suatu enakmen wasiat orang-orang Islam di negeri ini.

Menurutnya, dalam tempoh seberapa segera yang munasabah, Jawatankuasa Pilihan Khas itu juga perlu diberi mandat untuk bersama dengan mana-mana jabatan bertanggungjawab dalam mengurus dan mengendalikan perihal agama di dalam dan luar negeri bagi menyediakan garis panduan, peraturan dan undang-undang wasiat.

Iklan

"Setelah tugasan tersebut sempurna, jawatankuasa itu hendaklah mengemukakan kepada Dewan yang mulia ini satu penyata," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, usaha bagi membolehkan suatu enakmen berkaitan wasiat orang-orang Islam negeri ini digubal telah dibuat, termasuklah makluman oral dan bertulis kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan menteri besar.

Iklan

Katanya, perbincangan dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) juga telah dibuat pada 2021 disusuli perbahasan dalam Persidangan Dewan Negeri.

"Namun semuanya tidak membuahkan hasil untuk lahirkan sebuah enakmen bagi tujuan wasiat ini, oleh demikian saya mencadangkan usul ini," katanya.

Usul berkenaan mendapat sokongan Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang) sebelum dibahaskan.

Perbahasan usul persendirian itu melibatkan empat ADUN iaitu Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN-Pangkor), Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) dan A Sivanesan (DAP-Sungkai).

Usul berkenaan kemudiannya dipersetujui semua ahli Dewan yang hadir terdiri daripada 55 ADUN, manakala empat lagi tidak hadir dengan alasan bersurat kepada Speaker Dewan.

Sementara itu, Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, usul berkenaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-enakmen Negeri Perak yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Katanya, usul itu akan dikaji terlebih dahulu mengikut pindaan dan akan mencadangkan kepada kerajaan untuk membawanya apabila telah dibincangkan oleh semua jabatan yang ada.

"Disebabkan semuanya bersuara setuju, maka menjadi satu sejarah pada hari ini, usul persendirian yang dibawa Yang Berhormat Behrang dipersetujui dan diluluskan," katanya.

Sidang Dewan kemudiannya ditangguhkan pada jam 12 tengah hari ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.