KUALA LUMPUR - Semua ahli Parlimen diingatkan agar menunjukkan contoh teladan yang baik ketika berbahas atau bertanyakan soalan dengan tidak mengeluarkan sebarang ungkapan yang bersifat seksis bagi menjaga kemuliaan Dewan Rakyat.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) berkata, langkah itu perlu bagi menghormati Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 yang bakal dilaksanakan nanti.
"Dewan Rakyat ini perlu menunjukkan teladan yang baik dalam menghormati RUU ini setelah ia diluluskan. Tidak boleh ada apa-apa ungkapan sekali pun yang bersifat seksis dalam dewan yang mulia ini.
"Tindakan yang tegas perlu diambil (terhadap ahli Parlimen yang keluarkan kenyataan seksis) dalam menguatkuasakan RUU ini bagi menjaga nama baik Dewan Rakyat dan menunjuk contoh yang boleh diikuti rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Anti Gangguan Seksual 2021 di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh gara-gara isu seksis dibangkitkan apabila berlaku pertikaman lidah antara Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan beberapa ahli Parlimen pembangkang.
Kekecohan itu bermula apabila Tajuddin bangkit mencelah ketika Datuk Seri Azalina Othman Said (BN- Pengerang) membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 membuat kenyataan yang mengaitkan dirinya sebagai seksis.
Pada Selasa, Teo Nie Ching (PH-Pulai) membuat kenyataan bahawa Tajuddin bersama-sama Ahli Parlimen Baling (Datuk Seri Azeez Abdul Rahim) dan Ahli Parlimen Kinabatangan (Datuk Seri Bung Moktar Radin) sebagai seksis dan sering membuat kenyataan gangguan seksual terhadap ahli Parlimen wanita.