Kesal tindakan tidak seperti diharap

Iklan
Ketua Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri) bergambar bersama moderator, Nurhayati Datuk Nordin, panel, Cynthia Gabriel, Tricia Yeoh dan Badlishah Sham Baharin pada Sidang Media: 6 Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah 'Apa Sudah Jadi?' yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib

SHAH ALAM - Walaupun inisiatif untuk mengekang wabak rasuah dan ketirisan telah dikemukakan melalui desakan Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah pada September lalu namun Pasukan #Rasuah Buster dan wakil rakan gabungannya kesal kerana hasil serta tindakan tidak seperti yang diharapkan.

Pasukan #RasuahBusters bersama wakil gabungannya berkata, isu kenaikan harga barang, kemusnahan alam sekitar, ketirisan maklumat, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya terus berleluasa sekali gus memberi impak ketara terhadap ekonomi dan keselamatan negara.

Iklan
Iklan

"#RasuahBusters memandang berat isu ini dan menegaskan serta mengulangi bahawa pemulihan negara harus bertunjangkan integriti, prinsip ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang melalui kestabilan politik sebagai batu asasnya

"Maka #RasuahBusters bersama wakil gabungan mendesak agar tuntutan yang dibuat diletakkan sebagai agenda utama pembentangan di Parlimen dan rakyat diharap memberi sokongan penuh agar pemulihan negara dapat berjalan secara bersepadu serta holistik," kata mereka sebagai rumusan sidang akhbar enam tuntutan itu yang diadakan di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Iklan

Sidang akhbar itu turut melibatkan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai; Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Thomas Fann dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan.

Hadir sama, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh dan Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin.

Iklan

Mereka berkata, keutamaan tuntutan adalah terhadap penggubalan Akta Lompat Parti yang merupakan sebuah solusi kepada sebarang bentuk pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan rakyat kepada calon pilihan mereka.

"Pembentangan dan pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik juga perlu dipercepatkan kerana negara amat memerlukan mekanisme pendanaan awam yang bersesuaian untuk parti politik bagi memastikan ketelusan dalam sumbangan serta perbelanjaan.

"Selain itu, perlu dipastikan kebebasan dan ketelusan institusi bagi menjamin keadilan serta meningkatkan kewibawaan, fungsi Jabatan Peguam Negara, pendakwa raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus terpisah selain bebas serta tidak dipengaruhi oleh badan eksekutif mahupun tekanan politik," jelas mereka.

Bagaimanapun, Pasukan #RasuahBusters dan rakan gabungannya itu menegaskan keutamaan yang diberi terhadap tuntutan berkenaan tidak menjejaskan desakan terdahulu iaitu pelaksanaan penuh Pelan Anti Rasuah Nasional dan Reformasi Parlimen.

Justeru, mereka sekali lagi menggesa semua ahli Parlimen bertindak dengan kewajaran menyokong pindaan-pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi penggubalan undang-undang berkaitan semasa sidang Parlimen berlangsung ketika ini demi keadilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kata mereka, masa sudah sampai untuk pemimpin mengetepikan perbezaan politik dan tanpa tertangguh melaksanakan reformasi struktur berdasarkan tuntutan tersebut.

Ia bagi memastikan sebuah persekitaran politik yang berintegriti dan sihat dapat dibina bagi menjana pertumbuhan ekonomi, sosial serta sistem nilai yang mampan, bebas daripada gejala rasuah dan ketirisan demi membentuk #MalaysiaTanpaRasuah dengan #NilaiMoralKarektorBangsa.