Nafas tolak dakwaan industri padi negara dibayangi kartel

Iklan
Zamri (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan Mesyuarat Agung Tahunan kepada Pengerusi PPK Asun, Ariffin Ahmad pada Rabu.

JITRA - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menolak kemungkinan industri padi negara dibayangi kartel seperti yang berlaku dalam industri ternakan ayam dan daging.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, purata hasil padi yang tidak mencapai sasaran tujuh tan metrik per hektar adalah disebabkan sistem pengurusan yang kurang efisyen, bukannya disebabkan wujudnya kartel yang mengawal industri padi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia dibuktikan dengan kejayaan konsep SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang menyediakan pengurusan lebih cekap dengan matlamat untuk meningkatkan produktiviti seterusnya hasil pengeluaran padi dan beras negara.

"Saya rasa tak ada kartel padi, belum lagi dengar ada yang kawal industri ini seperti kartel ayam. Dalam sektor pertanian tak ada, sistem pengurusan yang perlu diperbetulkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun kali ke-46 di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan kemungkinan wujudnya kartel dalam industri padi berikutan masih gagal mencapai sasaran tujuh tan metrik per hektar.

Pada Mei lalu, Muhammad Sanusi berkata, ia berikutan model penanaman padi yang diusahakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mampu mencapai hasil 7.8 tan metrik sehektar, berbanding purata hasil padi sedia ada sebanyak enam tan metrik sehektar.

Iklan

Menurut beliau, perbezaan hasil padi tersebut mencurigakan kerana kedua-duanya menggunakan sumber, benih dan pengairan yang sama.

Dalam pada itu, Zamri tegaskan, kerajaan menggalakkan pesawah menyertai Smart SBB kerana ia mampu memperoleh hasil lebih tinggi sehingga 9 tan metrik sehektar seperti yang dibangunkan di Kampung Nam Dam, Kubur Panjang, Pendang pada tahun lalu.

"Inilah yang kita harapkan agar pesawah sertai Smart SBB dengan kerjasama syarikat swasta untuk wujudkan sistem sawah secara besar-besaran dengan teknik penanaman padi lebih sistematik.

"Projek perintis di Kampung Nam Dam adalah dengan kerjasama syarikat subsidiari Nafas, iaitu Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd yang bekalkan baja berformulasi khas dan Petronas Chemicals Group Berhad membekalkan baja Agrenas DTU atau urea biru yang mempunyai kadar penyerapan lebih efisien. Ia turut libatkan penyertaan pihak swasta,” ujarnya.

Menurutnya lagi, model perintis di Kampung Nam Dam akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk negeri lain dengan kerjasama PPK.

"Kita telah buktikan mampu cecah 9 tan metrik/hektar, kerana kita menggunakan sistem pembajaan yang betul dan sebagainya, jadi kita boleh mengeluarkan hasil tinggi. Sekiranya pesawah boleh mengikut apa yang kita lakukan dan patuh arahan diberikan, ia boleh dicapai.

"Sebab itu kerajaan galakkan perluaskan Smart SBB ini dengan penglibatan swasta. Apabila dibuat secara individu, kadang baja tak mengikut jadual, itu yang menyebabkan hasil kita rendah,” katanya lagi.