Isu mat rempit: Penyelesaian kukuh perlu diambil

Iklan
Kebanyakan mat rempit adalah golongan belia dan mereka melakukan semua aksi berbahaya ketika menunggang motosikal tanpa mengambil kira keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain. (Gambar kecil: Mohideen)

GEORGETOWN - Pihak berkuasa digesa untuk mengambil tindakan tegas dalam memastikan kegiatan lumba haram di negara ini dibanteras secara keseluruhannya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kegiatan lumba haram telah lama berleluasa namun tiada sebarang penyelesaian kukuh diambil bagi menyelesaikan masalah sosial itu.

Iklan
Iklan

Mengambil contoh kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu pada awal pagi Ahad lalu, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan dan pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian yang kekal terhadap kegiatan terbabit.

"Kebanyakan pelumba haram jalanan (mat rempit) ini adalah golongan belia dan melakukan semua aksi berbahaya ketika menunggang motosikal tanpa mengambil kira keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Iklan

"Selain itu, pelumba jalanan ini juga cenderung untuk mengubah suai motosikal mereka menjadi mesin lumba selain pengubahsuaian dilakukan oleh pengusaha kedai motosikal. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak tegas dengan tidak membenarkan kedai-kedai ini daripada melakukan sebarang pengubahsuaian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, Mohideen berkata, pasukan petugas pelbagai agensi perlu ditubuhkan untuk mempertimbangkan perbuatan mengubahsuai motosikal sebagai satu kesalahan jenayah.

Iklan

"Pihak berkuasa juga perlu lebih tegas dengan merampas motosikal yang telah diubahsuai dan terlibat dalam aktiviti lumba haram.

"Selain itu, mereka yang ditahan kerana terlibat dalam lumba haram juga perlu diarah menjalankan tugas sosial di bawah Perintah Kerja Pemulihan (CWO) seperti yang dilakukan di Singapura," katanya.

Beliau berkata, pendidikan dan tahap disiplin di sekolah juga perlu diambil kira bagi melahirkan anak muda yang mempunyai tahap disiplin tinggi.

"Sistem pendidikan di sekolah perlu dikaji semula kerana disiplin perlu dipupuk sejak daripada kecil lagi. Mereka membawa semua yang dipelajari di sekolah dan di rumah ke alam dewasa. Ini amat penting.

"Apabila sikap sudah sebati sejak awal lagi, maka ia sukar untuk diubah ketika mereka sudah besar. Hal ini adalah tugas ibu bapa kerana kebanyakan ibu bapa sekarang, mereka merasakan disiplin anak mereka sudah cukup.

"Ibu bapa perlu bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka dan mengambil tahu apa yang dilakukan sepanjang masa termasuk keluar rumah pada tengah malam tanpa tujuan penting," katanya.