SHAH ALAM - Susulan kejadian pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim Pasir Gudang, kerajaan Johor berhasrat memindahkan kilang-kilang industri di kawasan tersebut ke lokasi lain.
Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian berkata, ini kerana kawasan tersebut akan dinaiktaraf sebagai bandaraya dan tidak lagi sesuai bagi kilang.
Iklan
Iklan
"Kita sebenarnya memang merancang (tempatkan semula kilang) kerana Pasir Gudang akan dinaiktaraf sebagai bandaraya. Bermakna jumlah penduduk di sana adalah kira-kira 600,000 orang sekarang.
"Tempat itu tidak sesuai untuk diberikan kelulusan lagi bagi pembinaan kilang yang akhirnya bakal mencetus perkara sedemikian rupa (insiden pencemaran sisa toksik)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Ucapan Dasar Bumiputera pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia, di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Menurutnya, kerajaan Johor telah mengenalpasti kawasan jauh daripada Pasir Gudang dan lebih sesuai untuk diberikan kelulusan membina kilang bagi industri ringan atau sederhana seperti di Kota Tinggi, Kluang Simpang Renggam dan Sedenak.
"Apa yang berlaku kepada Sungai Kim Kim adalah disebabkan oleh kilang yang telah wujud kira-kira 30 tahun lalu. Mungkin dahulu Pasir Gudang tidak ada pembangunan pesat dan sesuai tetapi tidak sekarang.
"Kalau boleh kita nak pindahkan ke tempat yang boleh menjamin kebersihan alam sekitar. Sekarang ini pun kita sedang bangunkan beberapa kawasan industri khususnya di Sedenak," katanya.