Enam lelaki ditahan, barangan tiruan bernilai RM27,612 disita

Iklan
Antara barangan tiruan yang dirampas dalam serbuan ke atas tiga buah premis yang beroperasi di Kuala Terengganu dan Marang, pada Selasa. -Foto: Ihsan KPDNHEP Terengganu

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menahan enam lelaki dan menyita barangan tiruan bernilai RM27,612 dalam serbuan ke atas tiga buah premis di daerah Marang dan Kuala Terengganu, pada Selasa.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari itu, sebanyak 105 unit barangan terdiri daripada beg tangan, dompet dan selipar serta 1,232 unit minyak wangi yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah telah dirampas.

Iklan
Iklan

"Operasi ini susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki barangan berkenaan adalah tiruan dan berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika sehingga mengabaikan kepentingan pengguna.

"Kita turut menahan enam lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an di premis berkenaan bagi membantu siasatan,"katanya dalam kenyataan, disini, pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan barang-barang yang cap dagangan dipakaikan dengan salah bagi maksud perdagangan.

Katanya, jika individu terlibat merupakan pertubuhan perbadanan, mereka akan didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

Iklan

"Sekiranya individu terlibat bukan pertubuhan perbadanan, mereka akan didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,"katanya.

Saharuddin berkata, penguatkuasaan itu disertai seramai lapan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu, empat Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Hulu Terengganu serta turut disertai wakil pemilik cap dagang berdaftar.

Katanya, pengguna disarankan salur sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah," katanya.