ALOR SETAR – Satu ‘flash mob’ diadakan dua hari berturut-turut di sekitar bandaraya Alor Setar, di sini bagi mendesak kerajaan untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang.
‘Flash mob’ pertama disertai kira-kira 20 peserta terdiri dari anak muda dan penduduk setempat diadakan di tepi jalan Simpang Kuala, di sini, pada Selasa manakala ‘flash mob’ kedua di Jalan Putra, pada Rabu.
Wakil Persatuan Sahabat Prihatin Kedah, Amir Solehin Salimi berkata, kenaikan ini memberi impak sangat besar kepada rakyat Malaysia khususnya golongan bawahan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40).
Beliau menegaskan, kerajaan harus mengambil langkah proaktif menyelesaikan masalah terbabit sebelum ia menjadi lebih parah.
"Setiap hari rakyat mengeluh untuk mencari sesuap nasi dan mengisi perut ahli keluarga mereka, malah sebilangan mereka kini sangat tertekan dengan keadaan ekonomi.
"Dalam situasi ekonomi yang semakin runcing ini, ahli politik masih siburaya umum (PRU) kian hebat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas ‘flash mob’ terbabit di Jalan Putra, pada Rabu.
Amir Solehin turut mempersoalkan tindakan ahli politik kerana sepatutnya memikirkan masalah rakyat kerana mereka dipilih mewakili rakyat untuk menjaga dan menyelesaikan masalah rakyat.
"Rakyat sudah semakin rimas dengan situasi politik yang tidak pernah berkesudahan, sekali gus mendesak supaya beberapa tuntutan dipenuhi.
"Antaranya, kerajaan diminta fokus untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah kenaikan harga barangan dan memulangkan semula subsidi barang-barang keperluan asas,” katanya.
Beliau juga memohon ahli politik supaya menghentikan politik murahan dan perebutan, malah menangguhkan dahulu PRU sehingga masalah harga barang dapat diselesaikan.
"Hak dan kebajikan rakyat Malaysia perlu terbela dan kita akan terus mendesak kerajaan agar mencari jalan penyelesaian berhubung ini ini.
"Perjuangan akan diteruskan sehingga masalah ini selesai,” katanya.
Sementara itu, peserta ‘flash mob’ mewakili Rakyat Ingin Malaysia Aman Sejahtera (RIMAS ) di Kota Setar, Mohd Asri Mustaffa berkata, ahli politik diminta menumpukan kepada isu harga barangan dihadapi rakyat.
Katanya, rakyat mengharapkan bantuan diberikan bagi membantu golongan B40 dan M40 yang tertekan dengan kenaikan harga barangan ketika ini.
"Bayangkan, harga barangan seperti telur dan ikan sardin tinggi. Bagi B40, anak-anak hendak bersekolah lagi. Jadi, mana nak cari dengan kos asrama sebagainya,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Asri tertanya-tanya sama ada barisan menteri sanggup bersusah bersama rakyat, sekali gus membenarkan potongan gaji mereka sebanyak 70 peratus.