ZAGREB - Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan Rusia menghentikan bekalan gas dan Suruhanjaya Eropah dijangka membentangkan pelan kecemasan pada Rabu.
Menurut Suruhanjaya Eropah, kira-kira 11 bilion meter padu gas dapat dijimatkan menerusi dasar penjimatan tenaga untuk pemanasan dan penyejukan dalam bangunan, sekitar empat dan 40 bilion dengan mengurangkan penghasilan tenaga elektrik, dan kira-kira 10 bilion dengan mengehadkan permintaan industri.
Cadangan Suruhanjaya itu akan dibahaskan ketika sesi Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga pada 26 Julai, lapor Agensi Berita Croatia (HINA).
Menurut peraturan EU, kemudahan penyimpanan gas perlu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus menjelang 1 November.
Croatia mengumumkan akan meningkatkan kapasiti terminal gas asli cecair (LNG) daripada 2.9 bilion kepada 6.1 bilion meter padu.
Kerajaan mahu menjadikan Croatia sebagai hab tenaga Eropah Tengah bagi memenuhi keperluan Slovenia, Bosnia dan Herzegovina, dan Hungary.
Croatia juga merancang untuk menggandakan kapasiti saluran paip minyak JANAF yang kini mampu memenuhi permintaan Hungary.
Sementara itu, kemudahan penyimpanan gas asli Okoli kini sekitar 38 peratus dan dijangka mencecah 90 peratus menjelang 1 November.
Agensi tenaga Slovenia telah melancarkan pelan kecemasan bekalan gas fasa pertama untuk memantau bekalan gas di laluan yang menjejaskan Slovenia, termasuk saluran paip Nord Stream 1.
Agensi itu turut menyeru rakyat untuk menggunakan gas asli secara berhemah, meskipun bekalan tidak terganggu pada ketika ini tetapi terdapat kemungkinan gangguan sekiranya Rusia bertindak mengurangkan bekalan. - Bernama