Masalah bekalan baja selesai dalam masa terdekat

Iklan
Zamri (barisan depan, tengah) bergambar bersama ahli PPK Asun selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPK Asun kali ke-46 pada Rabu.

JITRA - Kelewatan bekalan baja untuk diedarkan kepada pesawah akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Zamri Yaakob berkata, kelewatan itu disebabkan baja yang dibekalkan kepada pesawah diimport dari Rusia yang kini menghentikan bekalan setelah berlaku peperangan dengan Ukraine.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai gantian Nafas telah pun mendapatkan bekalan dengan kualiti menyamai pembekal sebelum ini yang diperolehi dari Kanada.

"Sejak dulu, kita beli dari Belarus, Rusia sebab kita ada kontrak dengan syarikat di sana. Jadi bila peperangan menyebabkan bekalan baja terhenti, kita terpaksa cari sumber lain.

Iklan

"Kita beli dari Kanada kerana kualiti baja hampir sama, tidak boleh beli sesuka hati, namun jarak antara Kanada dan Malaysia jauh, ambil masa dari segi penghantaran. Itulah salah satu sebab lewat diedarkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun kali ke-46 di sini pada Rabu.

Zamri berkata, pada masa sama, kilang pengeluaran dalam negara mempunyai kapasiti tertentu sekitar 1,000 tan sehari dan tidak dapat menampung permintaan.

Iklan

"Kita tidak boleh keluarkan melebihi had, apabila kita proses perlu ikut kemampuan kilang. Jadi bila berlaku masalah kekurangan beg baja yang sebelum ini, ia berlarutan. Bagaimanapun, kita sudah ambil tindakan segera untuk atasi masalah ini,” katanya lagi.

Menurutnya, Nafas sudah menerima 15,000 tan baja yang akan diedarkan segera kepada pesawah.

"Saya harap isu ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Walaupun edaran sudah tersasar sedikit daripada jadual penanaman, kita akan cuba betulkan kembali,” katanya.

Dalam pada itu, Zamri memberitahu, Nafas bakal mengeluarkan benih padi sendiri dengan mengambil alih kilang swasta sedia ada bermula pada tahun ini.

"Sudah tiba masanya Nafas mengeluarkan benih padi sendiri untuk dibekalkan kepada pesawah kerana kita memerlukan sekitar 72,000 tan metrik benih padi setahun.

"Sekarang ini, kebanyakannya dihasilkan oleh kilang swasta menyebabkan harga benih padi tidak sama di pasaran,” katanya.

Menurutnya, untuk menyelaraskan harga benih padi, Nafas menyasarkan untuk memiliki sebuah kilang benih padi pada tahun ini dan akan menambah bilangan kilang mengikut kesesuaian.

"Kita bukan bina kilang baru, tetapi kita ambil alih kilang swasta dengan dijual sahamnya kepada kita. Ini membolehkan kita kawal pengeluaran. Pada tahun seterusnya, kita akan tambah lagi tiga atau empat kilang bagi memenuhi keperluan negara,” katanya.

Zamri berkata, kilang pertama terbabit terletak di Perak dan kini dalam perundingan peringkat akhir.

"Kita akan ambil alih beberapa kilang, seterusnya mengeluarkan sekurang-kurangnya 50,000 tan metrik. Mungkin 20,000 tan metrik lagi dengan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) atau PPK yang ada mengeluarkan benih padi,” katanya lagi.