GEORGETOWN - Panel penyemak bebas terdiri daripada pakar dalam bidang kejuruteraan air serta pengurusan lembangan tadahan air akan ditubuhkan bagi mengenalpasti faktor krisis air di Pulau Pinang yang berlaku pada 6 Julai lalu.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, panel itu juga berperanan untuk mengenal pasti kelemahan serta pihak bertanggungjawab terhadap masalah berkenaan.
Tambahnya, panel tersebut akan membincangkan, meneliti dan mengkaji semua maklumat yang terkandung dalam laporan post-mortem krisis air di Pulau Pinang yang disediakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
"Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang yang bersidang pada Rabu telah menerima laporan post mortem krisis air yang berlaku di Pulau Pinang dari 6 hingga 11 Julai lalu.
"Setelah perbincangan lanjut, MMK mengarahkan PBAPP untuk menambah baik laporan tersebut dengan perincian yang lebih mendalam. MMK juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah panel penyemak bebas untuk melaksanakan beberapa tugas penting," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, barisan panel itu juga akan mencadangkan langkah jangka masa pendek, sederhana pendek dan jangka masa panjang bagi penyelesaian krisis air yang berlaku.
"Mereka juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa hadapan.
"Keahlian panel penyemak bebas akan dimuktamadkan dan diumumkan dalam masa terdekat. Barisan panel ini akan diberi masa dua hingga tiga bulan untuk memuktamadkan dapatan mereka," katanya.
Minggu lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan PBAPP untuk mengadakan post mortem berhubung krisis bekalan air terputus selama enam hari bermula Rabu dua minggu lalu.
Sebelum ini, bekalan air terputus di Pulau Pinang yang membabitkan 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun PBAPP dan mengambil masa hingga enam hari untuk pulih sepenuhnya.