Naiknya cepat, turunnya lambat!

Iklan



Harga barang memang isu sepanjang zaman dan takkan ada penghujungnya! Apatah lagi jika pendapatan dan gaji tidak meningkat dan setimpal.

Apa yang berlaku di dunia, inilah yang berlaku di negara kita sekarang. Bila semua aktiviti sektor sosial dan perniagaan dibuka serentak selepas pandemik, sedangkan penyediaan bekalan dan bahan mentah tidak seiring permintaan.

Iklan
Iklan

Akibatnya, harga meningkat sejajar dengan teori ekonomi penawaran dan permintaan. Bagaimanapun, Indeks Harga Pengguna (CPI) atau inflasi negara masih rendah sekitar 2.8 peratus jika dibandingkan lain-lain negara.

Ketua Pengarah Perangkawan (DOSM) menyatakan, ini kerana dasar kerajaan memperuntukkan subsidi dalam mengawal harga barang terutama keperluan asas seperti ayam, telur, minyak masak, petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG). Tanpa subsidi, kadar CPI akan melebihi 10 peratus seperti Amerika, United Kingdom, Singapura dan Thailand.

Iklan

Bukan sahaja harga barang akan naik, produk makanan bermasak dan tidak bermasak juga akan turut melonjak.

Kerajaan membelanjakan subsidi RM1.1 bilion untuk memastikan ayam dan telur pada harga mampu milik dan berbilion ringgit untuk mengekalkan harga petrol RON95 dan diesel pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Iklan

Bila harga ayam hendak diapungkan mengikut harga pasaran, riuh rendahlah pengguna kerana harga ayam di negara pengeluar seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia semuanya antara RM13 - RM15 sekilogram.

Bila kerajaan umumkan ayam pada harga siling baharu RM9.40 sekilogram, isu ayam terus mati malah ada yang jual ayam di bawah harga siling. Tidak dinafikan ia didorong oleh penyaluran subsidi cepat dan efisien kepada penternak di samping harga dedak yang mula turun.

Apabila kerajaan merasakan tidak perlu lagi memberi subsidi minyak masak kemasan botol setelah pembiayaan sehingga RM2.1 bilion untuk subsidi minyak masak polibeg bagi tahun 2021 melalui Skim Menstabilkan Minyak Masak (COSS), gendang netizen berbunyi lagi!

PUNCA KETIRISAN



Anehnya, sebelum ini tak pernah pengguna bising tentang minyak masak polibeg di pasaran. Peruntukan masih sama iaitu RM60 juta peket minyak masak sebulan atau 720 juta setahun. Bilangan rakyat juga tidak jauh berbeza masih sekitar 33 juta. Kenapa tiba-tiba riuh rendah?

Rupa-rupanya harga minyak masak kemasan botol mendadak naik. Ramai terkesan bila harga Crude Palm Oil (CPO) atau Minyak Masak Mentah (MSM) melonjak hampir 200 peratus daripada RM2,500 ke RM7,000 per tan metrik di pasaran dunia. Kesan positif hanya kepada peladang dan pengilang MSM sekitar 700,000 orang, tetapi tidak kepada pengguna yang berjumlah 33 juta.

Tanpa subsidi, harga minyak masak botol mencecah RM42 untuk botol 5kg. Patutlah pengguna beralih ke minyak masak bersubsidi polibeg. Peket 1kg berharga RM2.50 dan 5kg hanya RM12.50, jimat sehingga 300 peratus berbanding dengan botol!

MSM pada Mei dan Julai 2022 sahaja berharga RM7 sekilo atau RM35 untuk botol 5kg. Ini belum lagi kos memproses, menjernih, mengenyah bau, mengenyah kolesterol dan menambah nutrisi seperti vitamin E. Jika ditambah kos pembotolan, pemasaran, pengangkutan dan margin keuntungan, tidak mustahil minyak masak tulen tanpa subsidi dijual melebihi RM40 untuk 5kg.

Faktor harga disokong dengan kejayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam advokasinya bahawa minyak peket bukan minyak kitar semula dan kualitinya serupa dengan minyak masak tulen kemasan botol. Tidak hairan ramai beralih ke minyak masak peket bersubsidi.

Satu lagi faktor adalah harga minyak masak yang mahal di negara jiran. Di Indonesia, negara pengeluar terbesar minyak masak dunia lebih mahal jika dibandingkan di Malaysia. Justeru, banyak minyak masak peket bersubsidi negara di seludup ke Thailand dan Indonesia, dijual secara berleluasa pada harga RM7 sepeket. Laporan Sinar Harian dan TV3 menonjolkan sikap si penyeludup mengkhianati negara hasil daripada kesusahan rakyat.



Satu lagi cara mengaut keuntungan segera ialah penyelewengan di mana minyak masak bersubsidi dimasukkan ke dalam kemasan botol, dilabelkan dan dijual di pasaran pada harga tanpa subsidi.

Penyelewengan ini sebenarnya berlaku kepada LPG di mana LPG bersubsidi 14kg dipindahkan ke tong komersial 50kg. Begitu juga dengan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter yang di seleweng dijual pada harga komersial.

Harga minyak masak terpakai melebihi RM4 seliter mendorong pengkhianat membeli minyak masak bersubsidi pada harga RM2.50. Biasanya, minyak masak peket digunakan sekali lalu dijual sebagai minyak masak terpakai untuk industri bio-diesel. Ada juga yang menjual minyak masak bersubsidi tanpa menggunakannya terlebih dahulu.

Pengkhianatan ini menyebabkan kekurangan bekalan minyak masak di pasaran, kesusahan di peringkat pengguna dan kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang tinggi untuk menampung kekurangan tersebut. Ini belum lagi kerosakan dari segi imej, kebencian dan cemuhan yang terpaksa ditanggung kerajaan dan kementerian yang mengendalikannya.

BILA NAK TURUN?

Kini harga MSM sudah jatuh ke paras RM3,600 per tan metrik dan pengguna berharap agar ia diturunkan. Mungkin ia mengambil masa untuk pelarasan stok MSM lama, tetapi seharusnya tidak terlalu lama untuk harga pasaran minyak masak kemasan botol diturunkan.

Kita berharap episod kekurangan minyak masak bersubsidi akan berakhir cepat seperti kisah ayam dan seharusnya minyak masak peket diutamakan untuk isi rumah golongan B40.

Kerajaan juga harus mengizinkan penjaja kecil B40 yang berniaga tepi jalan menggunakan minyak peket bersubsidi dengan syarat harga jualan mereka tidak dinaikkan, kekal pada kadar ’subsidi’ kerana mereka menggunakan ayam, telur, LPG, beras dan mungkin tepung juga bersubsidi. Tetapi tidak kepada restoran makan dan kedai mamak! Betul tak Tan Sri?