PELAKON berbakat besar, Nabila Huda telah berkongsi rahsia yang di simpan daripada pengetahuan umum sebelum ini.
Menurut selebriti berusia 35 tahun ini, dia telah mendapati dirinya hamil dan sangat teruja untuk berkongsi berita tersebut dengan peminatnya.
Bagaimanapun hajat itu tidak kesampaian apabila dia mengalami pendarahan sehingga disahkan keguguran.
"Masa saya tahu saya positif (hamil), saya sangat teruja untuk berkongsi berita ini dengan anda semua.
"Tapi macam nak beri kejutan lambat sikit. Inilah saat yang paling manis, gembira, sedih semua ada. Semua dalam satu.
"Saya menanti saat ini hampir empat tahun. Tapi sayang sekali, saya mengalami pendarahan teruk sehingga ke hari ini dan saya sudah membuat ujian darah semula.
"Keputusannya, ia (janin) itu tidak ada lagi. Tiada rezeki lagi kali ini. ALLAH SWT nak bagi saya peluang bulan madu lagi agaknya," tulisnya pada kapsyen video yang dimuat naiknya di akaun Instagram.
Tidak mahu bersedih atau tertekan dengan keguguran itu, anak kepada rockers lagenda, Amy Search ini menerima dengan hati yang terbuka.
"Sudah tentu saya sedih, terlalu sedih. Tetapi, kenapa nak kena bersedih dan menangis, sedangkan orang yang sentiasa membahagiakan kita, ada di depan mata.
"Mereka masih ada, lebih baik menghargai waktu yang ada sepuas-puasnya. Sekurang-kurangnya dapat juga kami berdua rasa moment 'mom and dad to be' sekejap," tambahnya.
Rata-rata pengikut Instagramnya termasuk rakan artis telah meninggalkan komen sebagai tanda sokongan buat Nabila dan mendoakan pelakon itu dikurniakan rezeki cahaya mata lagi selepas ini.
Nabila mendirikan rumah tangga dengan Mohd Izwan Johar, 35, pada 25 Disember 2015.
Sebelum ini, aktres yang baru mendapat trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30, mendirikan rumah tangga dengan Zaidy Zailani pada tahun 2008, namun berpisah dua tahun kemudian.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan bernama Keisha Laila yang berusia sembilan tahun.