ALOR SETAR - Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan salah guna dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM100,000 pada Februari tahun lalu.
Tertuduh, K C Ramananaidu, 32, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Khamis.
Mengikut kertas pertuduhan, Ramananaidu secara curang telah menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM100,000 milik kerajaan melalui MITRA yang digunakan bagi tujuan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India B40 untuk bidang pertanian.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Agrobank Bank Berhad Cawangan Sungai Petani pada 26 Februari 2021.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara minimum enam bulan atau dengan sebatan serta denda.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM80,000 bagi pertuduhan terhadap Ramananaidu.
Peguam Miguel Sequerah yang mewakili tertuduh dalam hujahnya kemudian memohon jumlah tawaran jaminan dapat dikurangkan kepada RM20,000.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.
Harmi Tharmi juga menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu saksi termasuk hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.
Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 25 Ogos dan Ramananaidu telah membayar jaminan tersebut di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.