[VIDEO] Pasangan kekasih ditahan, sorok 300kg ganja

Iklan
Surina (tiga, kanan) menunjukkan ketulan ganja yang dirampas daripada pasangan kekasih susulan polis menyerbu sebuah rumah di Taman Impian, Bukit Mertajam, pada 16 Julai lalu.

BUKIT MERTAJAM - Pasangan kekasih ditahan bersama 300 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM750,000 dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Impian di sini, pada 16 Julai lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dadah terbabit diseludup dari Thailand sebelum dibawa menggunakan jalan darat ke Pulau Pinang untuk edaran di Lembah Klang.

Iklan
Iklan

"Rumah terbabit dijadikan transit untuk menyimpan semua ketulan mampat ganja dan hasil pemeriksaan dilakukan polis menemukan dadah berkenaan disorokkan dalam 12 kotak polisterin.

"Ketika serbuan dilakukan pasangan kekasih masing-masing berusia 41 tahun dan teman wanitanya, warga Indonesia berusia 37 tahun berada di dalam rumah berkenaan.

Iklan

"Siasatan mendapati mereka tinggal bersama di rumah berkenaan dan wanita terbabit tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk tinggal di negara ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, pada Khamis.

Surina berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap pasangan terbabit mendapati, mereka bebas daripada pengaruh dadah dan kedua-duanya tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Iklan

Katanya, selain dadah polis merampas sebuah motosikal bernilai RM2,800 dari pasangan terbabit.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, Surina berkata, bermula dari Januari hingga Jun lalu, pihaknya berjaya merampas 364 kg ganja yang cuba diseludup melalui sempadan Perlis melibatkan 16 orang tangkapan.