Warga Indonesia ditahan bawa lori sampah tanpa lesen sah

Iklan
Pemandu lori sampah yang merupakan warga Indonesia ditahan anggota JPJ dalam Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) di Pandan Indah di sini pada Khamis.

AMPANG - Tindakan seorang pemandu lori sampah warga Indonesia yang cuba melarikan diri daripada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membawa padah apabila ditahan dalam Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) di Pandan Indah di sini pada Khamis.

Individu yang berumur 30-an itu ditahan anggota JPJ selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dan siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu secara sah di negara ini.

Iklan
Iklan

Suspek yang pada mulanya memberikan pelbagai alasan ketika diperiksa cuba melarikan diri namun sempat dihalang anggota JPJ.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Raja Nur Syuhaidah Raja Azmi berkata, operasi dijalankan memfokuskan kepada penunggang serta pemandu warga asing yang tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Iklan
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Raja Nur Syuhaidah Raja Azmi.

"Operasi yang diadakan kali ini melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang mana turut menjalankan tindakan terhadap warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah.

"Hasil risikan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan pemandu warga asing terutamanya tidak memiliki lesen memandu sah di Malaysia dan lesen tamat tempoh," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) di Pandan Indah di sini pada Khamis.

Katanya, sebanyak 23 kenderaan telah disita dalam operasi ini.

"Antaranya melibatkan empat buah lori, 18 buah motosikal serta sebuah kereta.

"Kesalahan yang dikesan melibatkan tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan perdagangan, dan insurans tamat tempoh dengan keseluruhan sebanyak 79 notis saman yang dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, pihak JPJ mendapati kebanyakan kenderaan yang dipandu oleh warga asing adalah milik warga Malaysia.

"Semua pemilik kenderaan diingatkan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing.

"Sekiranya terdapat kesalahan yang dikesan, pemilik juga akan dikenakan tindakan oleh pihak JPJ dan kenderaan boleh disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tambahnya, pemilik kenderaan juga diingatkan tidak mengubah suai sewenang-wenangnya kenderaan.

"Pemilik tidak dibenarkan mengubah suai dengan menambah roda tiga pada kenderaan seperti motosikal yang membawa kepada kesalahan teknikal di bawah Seksyen 6(1) (Larangan bagi kenderaan-kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah-kaedah) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bagi kenderaan yang tiada perlindungan insurans, akan diambil tindakan di bawah Seksyen 90(1) (Pembawa kenderaan motor hendaklah diinsuranskan terhadap risiko pihak ketiga) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.