GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang jurutera buntu selepas maklumat peribadinya termasuk salinan kad pengenalan dipercayai digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab pada bil elektrik di dua buah rumah kedai di Cheras, Kuala Lumpur.
Chew Ee Liang, 33, berkata, kehidupan sehariannya terganggu sejak menerima surat daripada pemilik dua premis berkenaan yang mendakwa dia bakal disaman Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM251,604 kerana penyewa premisnya tidak melunaskan bil elektrik selama beberapa bulan.
Menurutnya, pemilik premis yang merupakan seorang wanita itu menghantar surat saman tersebut kepadanya pada 17 Januari 2019 yang meminta dia melangsaikan hutang keseluruhan berjumlah RM379,850 sekiranya tidak mahu tindakan undang-undang diambil keatasnya.
"Ketika saya terima surat daripada pemilik premis berkenaan, saya buntu kerana saya tidak pernah bekerja, malah menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur selama ini. Saya tinggal dan bekerja di Pulau Pinang. Jika saya ke Kuala Lumpur pun, ia hanya untuk bercuti sahaja.
"Saya terus membuat satu laporan polis di Balai Polis Sungai Nibong berhubung perkara itu kerana tidak pernah terlibat dengan mana-mana ejen sewaan premis," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat MCA Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Biro Aduan MCA Pulau Pinang, Ooi Teik Liang. Tambahnya, hidupnya bertambah kucar kacir apabila menerima surat peguam pada 25 Mac 2021 yang meminta dia melangsaikan hutang bagi tiga akaun TNB berjumlah RM379,850 segera.
"Di dalam surat itu, peguam kepada pemilik premis telah meminta saya melangsaikan hutang tersebut dan sekiranya gagal, kes akan dibawa ke mahkamah.
"Menurut surat tersebut, saya didakwa mempunyai tiga akaun di atas dua premis rumah kedai yang disewa.
"Hutang bagi ketiga-tiga akaun tersebut masing-masing bernilai RM142,200, RM125,531 dan RM112,119 dengan jumlah keseluruhan adalah RM379,850. Sekali lagi saya buat laporan polis bagi menafikan saya terlibat dengan hutang tersebut," katanya.
Dia berkata lagi, pada 21 Julai 2021, dia menerima sepucuk surat lagi daripada peguam pemilik premis yang memaklumkan bahawa kes tersebut sudah dibawa ke mahkamah susulan tiada pembayaran dilakukan olehnya.
"Saya membuat laporan polis sekali lagi pada Ogos 2021 bagi menafikan perkara itu dan kemudiannya ke Ibu Pejabat TNB di Kuala Lumpur untuk mendapatkan butiran perjanjian berhubung dakwaan pengubahsuaian sistem pendawaian premis seperti yang didakwa.
"Selepas mendapatkan semua butiran tersebut, saya amat terkejut selepas mendapati dua surat perjanjian telah ditulis menggunakan nama saya namun menggunakan tandatangan yang berbeza. Saya tidak pernah menukar tandatangan saya sejak dibangku sekolah lagi.
"Surat perjanjian tersebut bertarikh 13 Mac 2018 dan 19 September 2018 yang mana ketika itu, saya berada di Pulau Pinang dan sedang bekerja," katanya.
Jelas anak jati Pulau Pinang itu, dia turut membuat laporan kepada Jabatan Pesuruhjaya Data Peribadi (JPDP) melalui dalam talian untuk menyiasat kes tersebut.
"Saya diberitahu JPDP bahawa kes sedang disiasat bermula November tahun lalu namun sehingga sekarang, belum ada sebarang perkembangan terkini tentang kes saya.
"Saya berharap, pihak polis, JPDP dan TNB segera menyiasat kes ini kerana saya langsung tidak tahu menahu tentang dakwaan ini. Saya yakin, semua butiran peribadi saya termasuk salinan kad pengenalan saya telah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Ee Liang berkata, dia amat tertekan dengan dakwaan tersebut sehingga mengganggu kehidupan seharian terutamanya waktu dia bekerja.
"Saya tidak boleh fokus ketika bekerja dan saya kerap mengambil cuti kerana menguruskan masalah ini. Saya perlu berulang alik ke Kuala Lumpur kerana premis tersebut terletak di sana," katanya.