KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan membangkitkan aduan berhubung tindakan seorang lelaki membocorkan transkrip rakaman audio yang belum ditandakan sebagai eksibit di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian ketika perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid.
Beliau berkata, pemilik Twitter dikenali Farhan perlu memberi penjelasan mengapa dia menyebarkan kandungan dokumen itu di laman sosial.
Difahamkan, ia adalah membabitkan suatu dokumen bertajuk ‘Transkripsi audio penuh pertemuan Tuan Ihsan Sapuan (Pegawai Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bersama YB Syed Saddiq bertarikh 12 Julai 2021’.
Sedangkan Wan Shaharuddin yang juga Timbalan Pengarah 1, Bahagian Pendakwaan dan Perundangan SPRM berkata, dokumen itu belum ditanda sebagai eksibit dan hanya dalam pengetahuan hakim, pasukan pendakwaan, pembelaan dan jurubahasa.
Kemudian katanya, dua agensi media yang tidak hadir dalam prosiding kes, telah menyiarkan dokumen berkenaan serta membuat rumusan kes dengan mengenal pasti individu yang terlibat dalam audio berkenaan.
Sedangkan katanya, pihak pendakwaan belum mengesahkan kesahihan serta keaslian audio tersebut.
"Persoalannya, macam mana mereka dapat transkripsi itu dan kemudian menyebarkannya, ini jelas akan mengundang subjudis iaitu komen yang tidak adil.
"Saya memohon Farhan dipanggil untuk memberi penjelasan manakala editor dari dua agensi media diminta hadir ke mahkamah pada Jumaat,” katanya.
Biarpun Negara tidak menyekat kebebasan bersuara namun Wan Shaharuddin berkata, ia tidak memberi kelonggaran kepada sesiapa sahaja untuk bertindak melampaui batas.
Katanya, tiada niat pendakwaan untuk membuli atau menakut-nakutkan pihak media, namun garis panduan perlu diterapkan kerana mereka terikat dengan etika kewartawanan.
Malah beliau berkata, mahkamah juga belum menentukan keaslian rakaman audio berkenaan sama ada milik suara Syed Saddiq dan Ihsan atau individu lain.
Wan Shaharuddin: Lelaki itu berada di mahkamah hari ini dan kamu mohon agar dia beri penjelasan kepada mahkamah, bagaimana transkrip rakaman audio itu diperoleh.
JC Azhar: Dokumen lengkapkah?
Wan Shaharuddin: Ya, bezanya, ia diletakkan dalam baris kotak. Kita semua sudah dewasa, tetapi ini kerja budak mentah yang tidak cukup empuk lagi nasinya.
Dalam prosiding pada Rabu, rakaman audio itu dimainkan semasa Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Syahmeizy Sulong, 37, memberi keterangannya.
Bagaimanapun, Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak bersetuju apabila pendakwaan menggunakan perkataan membocorkan dokumen sedangkan rakaman audio itu telah dimainkan ketika prosiding berlangsung pada Rabu.
Menurutnya, pihak media yang mengetahui perkara itu, kemudiannya membuat laporan mengenai perjalanan perbicaraan.
"Pendakwaan tak boleh cakap ada pihak bocorkan maklumat, sedangkan tiada arahan larangan berhubung isu tersebut.
"Jika ia tidak dibaca langsung bolehlah dikatakan sebagai subjudis, wartawan cuma buat apa yang diberitahu di mahkamah, ini tidak adil,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk S Ambiga turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan.
Beliau menyifatkan tindakan pendakwaan sebagai cuba membuli orang awam dengan membuat laporan polis berkaitan isu yang menyentuh integritinya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, JC Azhar mengingatkan orang awam agar tidak melampaui batas dalam membuat sebarang kenyataan atau hantaran di media sosial berhubung prosiding kes mahkamah.
Bagaimanapun, beliau berkata, mahkamah tidak boleh menghalang orang awam daripada membuat sebarang komen kerana mereka mempunyai hak bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Namun ia adalah satu peringatan yang baik, komen mestilah dalam lingkungan yang dibenarkan dan kita tidak boleh melampaui batas.
"Pihak media hanya menjalankan tugas dan bebas untuk melaporkan apa yang berlaku di mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, satu laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 36 tahun pada awal pagi Khamis, dengan mendakwa tindakan seorang pemilik Twitter bernama Farhan dan agensi media telah membocorkan dokumen tanpa dijadikan sebagai eksibit, sekali gus menjejaskan imej SPRM.