'Saya anak yatim, abah layan sama seperti anak sendiri'

Iklan
Abah memeluk Nik Mohamad Adhar di tengah-tengah padang kawad. Warga emas itu menerpa ke arah anaknya yang rebah dalam perbarisan sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP. - Foto FB Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang rebah dalam perbarisan sempena Hari Penguat Kuasa menjelaskan, susuk tubuh tua yang mengangkat dan memeluknya di tengah-tengah padang kawad itu merupakan bapa saudaranya.

Namun, Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi berkata, bapa saudaranya, Abdul Aziz Ya’acob bekerja sebagai pemandu teksi dianggap sebagai bapa kandung.

Iklan
Iklan

"Abah, bapa saudara saya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Jelasnya, dia merupakan anak yatim piatu dan dijaga oleh Abdul Aziz dan ibu saudara, Rosmawati Ismail, 53, yang dipanggil emak, sejak usia tiga bulan.

Iklan
Nik Mohamad Adhar bersama insan yang menyayanginya sejak kecil lagi.

"Emak kandung saya meninggal dunia ketika saya berusia tiga bulan manakala ayah pula meninggal sewaktu saya berumur tujuh tahun," katanya.

Menurutnya, meskipun berstatus anak saudara, layanan Abdul Aziz, 60, tidak pernah berbeza dengan enam anaknya yang lain.

Iklan

"Dari kecil sampai sekarang, layanannya sama seperti anak sendiri," katanya.

Menceritakan detik-detik ketika rebah semasa perbarisan itu, Nik Mohamad Adhar, 22, berkata, dia sebenarnya berada dalam keadaan kurang sihat.

"Sebenarnya semasa abah datang melulu tu, itu kali kedua saya rebah.

"Kali pertama saya masih boleh bangun dan kedua, abah datang," katanya.

Nik Mohamad Adhar berasal dari Tumpat, Kelantan dan bertugas di Tawau Sabah itu berkata, dia mengalami demam sejak tiga hari lalu.

Nik Mohamad Adhar

"Pagi tadi pun saya masih demam," katanya yang merupakan anak bongsu kepada empat beradik.

Momen abah Nik Mohamad Adhar yang mengangkat dan memeluknya itu di Maktab Penjara Kajang sempat dirakam jurugambar dan dimuat naik di Facebook oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menyifatkan gambar-gambar tersebut memaparkan kasih sayang seorang bapa yang tidak berbelah bahagi, Alexander berkata, beliau tidak mampu menahan air mata melihat apa yang berlaku di depan matanya.

"Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu.

"Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata," katanya.