RUU jenayah intip, hendap harap dibentang tahun ini

Iklan
Mas Ermieyati (kiri) dan Rina (tengah) pada sidang akhbar Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 di Glenmarie Hotel dan Golf Resort di sini pada Khamis.

SHAH ALAM - Status Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah intip dan hendap atau dikenali sebagai anti-stalking law kini di peringkat perincian terakhir dan berharap dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, satu sesi taklimat dan pemakluman terkini berhubung perkara itu akan dibuat bersama ahli Parlimen, Senator serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada minggu depan.

Iklan
Iklan

Beliau berpandangan, anti-stalking law sesuai dibentangkan pada tahun ini selepas Antigangguan Seksual 2021 (AGS2021) diluluskan Dewan Rakyat, pada Rabu.

"Jika dapat dibentangkan tahun ini pastinya amat menggembirakan bukan hanya buat saya tetapi kepada mangsa yang telah tampil ke hadapan.

Iklan

"Tentunya, ini menjadi satu hadiah buat mereka selain menjadi isu keselamatan yang boleh kerajaan berikan harapan kepada mereka," katanya ditemui pada Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 di Glenmarie Hotel dan Golf Resort di sini pada Khamis.

Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun.

Iklan

Pada Rabu, RUU AGS diluluskan di Dewan Rakyat dan Rina ketika menggulung AGS 2021 memberitahu, rang undang-undang itu adalah manifestasi penting dan membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha menghapuskan diskriminasi berasaskan gender.

AGS 2021 mengandungi empat bahagian, empat bab dan 27 fasal, diharap berupaya menangani isu gangguan seksual di Malaysia yang belum memiliki undang-undang khusus berhubung gangguan seksual.

Pada perkembangan sama, Rina ketika mengulas Persidangan Meja Bulat Wanita Bangkit 2022 berkata, persidangan itu julung kali diadakan dan dihadiri lebih 75 NGO, organisasi serta individu profesional.

"Ia bagi mendengar suara akar umbi berkaitan resolusi tiga kluster yang dibincangkan iaitu kepimpinan, perundangan dan sosioekonomi.

"Ini merupakan isu utama wanita yang telah lama dibincangkan. Saya terima resolusi persidangan ini dan akan perhalusi serta akan ada rentetan daripada program yang diadakan hari ini (Khamis) sebelum disalurkan kepada kementerian berkaitan," katanya.