KOTA BHARU – Kerajaan perlu mewujudkan satu pangkalan data untuk menyimpan maklumat graduan bagi mengelak berlakunya penipuan melibatkan pemalsuan sijil dan sebagainya.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Faisal Mohd Piah berkata, pangkalan data tersebut akan menyimpan semua bukti-bukti transkrip termasuklah keputusan peperiksaan setiap peringkat pengajian yang diambil.
"Kerajaan perlu lakukan sesuatu, bagi saya, masalah pemalsuan sijil pendidikan ini adalah satu perkara yang besar, tidak kurang daripada melakukan sesuatu jenayah. Ini kerana ia merupakan satu penipuan.
"Cuba bayangkan, ada orang yang tidak mampu untuk menanggung pelajaran di universiti, bersusah payah jual tanah di kampung untuk hantar anak-anak masuk universiti, belajar lima enam tahun untuk segulung ijazah. Tapi sekarang ini, hanya dengan kos tertentu, dalam masa seminggu pun boleh dapat ijazah. Ini meragut kejujuran mereka yang bersusah payah,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, pangkalan data tersebut akan membuktikan sama ada seseorang itu mempunyai ijazah yang diiktiraf ataupun tidak, dan semua data yang disalurkan adalah sah daripada universiti tersebut sendiri.
Beliau berkata, dengan cara itu, penipuan dan pemalsuan dapat dielak dan semua data tersebut hanya boleh diakses oleh pendaftar universiti sahaja.
"Untuk lihat maklumat, pangkalan data ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu aplikasi dalam telefon dan sebagainya. Mungkin ini mengambil masa, tapi lebih baik lambat daripada tiada langsung. Data ini sangat diperlukan supaya Malaysia tidak dikenali dengan gambaran yang tidak elok mengenai isu ini.
"Biar kita yang memulakan dan dijadikan contoh untuk negara lain. Tidak salah mencuba, lagipun ia akan memudahkan semua pihak.
"Selepas ini, kalau graduan mahu cari kerja, hanya keluarkan saja salinan daripada data tersebut dan bawa bersama sijil-sijil yang lain untuk ditemuduga. Sangat sistematik dan mudah,” katanya.