Henti beri suapan kepada polis

Iklan
Mior Faridalathrash (depan, tiga dari kiri) bersama warga PDRM Perak pada Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Perak di Ipoh pada Rabu.

IPOH - Masyarakat diingatkan supaya menghentikan amalan memberi suapan kepada penguat kuasa bagi melepaskan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes-kes rasuah ini bermula daripada sikap ‘murah hati’ si pemberi.

Iklan
Iklan

"Ada individu yang melakukan kesalahan trafik umpamanya, tidak mahu dikenakan saman cuba menghulurkan wang kerana leceh berurusan di balai atau mahkamah.

"Pemikiran ini yang patut diubah. Rasuah terjadi kerana ada yang memberi, maka hentikan beri rasuah kepada mana-mana agensi,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, orang ramai digalakkan untuk membuat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya ada dalam kalangan polis yang meminta wang.

"Ambil nama dan nombor badan bagi memudahkan tindakan sewajarnya diambil kerana meminta suapan merupakan salah satu kesalahan di bawah SPRM.

Iklan

"Kadangkala ada laporan bersifat tohmahan namun, kita mesti adil kepada anggota dan semua yang terlibat dengan membuat siasatan lanjut,” ujarnya.

Pada masa sama, Mior Faridalathrash mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak supaya lebih bijak menguruskan tugas dan tanggungjawab agar tidak sesekali terjebak dengan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Tambahnya, ketua jabatan dan ketua formasi digesa untuk mengawal dan memantau perkara itu bagi memastikan setiap anggota dan pegawai sentiasa berada di landasan betul.

"Kita tidak boleh menafikan masih ada dalam kalangan kita yang terlibat dalam jenayah rasuah dan salah guna kuasa memandangkan tugas PDRM dalam mempertahankan negara ini adalah besar.

"Justeru, pegawai kanan dan penyelia diingatkan untuk sentiasa menunjukkan contoh terbaik serta memantau segala disiplin dan kebajikan pegawai yang diselia.

"Kegagalan dalam melaksanakan kawalan ini terhadap pegawai yang diselia akan mengakibatkan organisasi PDRM dipandang rendah dan dipersoalkan oleh masyarakat,” jelasnya