AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman buat hal lagi. Kali ini beliau didakwa mencarut di Dewan Rakyat pada Rabu dalam satu perbalahan melibatkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan DAP.
Menurut Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan), walaupun mikrofon Tajuddin dipadamkan ketika itu, ada beberapa ahli Parlimen mendengar wakil rakyat UMNO itu menyebut perkataan p*****k dua kali.
Geleng kepala Merak Jalanan dengan perangai tidak cerdik segelintir Yang Berhormat ketika berbahas.
Agaknya apa yang beliau fikir ketika melontarkan perkataan tak beradab itu kepada golongan wanita? Apatah lagi, ia boleh disaksikan secara langsung oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Amat menyedihkan apabila pemimpin mempamerkan gelagat kurang sopan dan mengamalkan budaya tidak matang ketika perbahasan di Dewan Rakyat.
Ia bukan sahaja menampakkan sikap tidak profesional, malah menjatuhkan imej mereka sendiri.
Bagaimanalah rakyat nak hormat pemimpin-pemimpin sebegini kalau perangai pun ‘tak boleh nak dijadikan contoh dan teladan’.
Merak Jalanan harap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, rakyat pilihlah pemimpin yang lebih bijaksana dan beradab bagi mewakili mereka di Dewan Rakyat, bukannya yang melalak tak mendatangkan apa-apa faedah.
Memang patut jika Yang Berhormat didapati mengeluarkan kata-kata kurang sopan dikenakan tindakan tegas termasuk dihalau keluar daripada hadir persidangan Dewan Rakyat untuk satu tempoh tertentu.
Kita tak rugi pun jika menyingkirkan pemimpin mulut celopar. Jaguh sebenar didambakan rakyat adalah dalam kalangan yang beradab dan berakhlak, mengeluarkan kata-kata sopan dan berhujah berteraskan fakta, bukannya didorong oleh emosi.