KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest menandatangani Jesse Lingard secara percuma selepas kontrak pemain itu bersama Manchester United tamat.
Perkembangan itu diumumkan Nottingham dalam satu kenyataan pada Khamis yang memaklumkan pemain sayap bakal mengikat kontrak selama satu tahun.
Iklan
Iklan
"Semua pihak di Nottingham Forest sangat gembira serta mengalu-alukan Jesse (Lingard) ke kelab ini.
"Kami tidak sabar-sabar untuk melihatnya menyarung jersi Garibaldi di World Famous City Ground,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Lingard yang merupakan Produk akademi United, dilepaskan The Red Devils selepas pemain itu bergelut untuk mencipta impak di Old Trafford musim lalu, apabila sekadar diturunkan dalam kesebelasan utama sebanyak dua kali pasukan di saingan EPL sepanjang kempen 2021-22.
Selepas dilepaskan United, Lingard sering kali dikaitkan dengan perpindahan kembali ke West Ham, yang mana dia menikmati tempoh pinjaman yang cemerlang pada separuh kedua musim 2020-21, apabila menjaringkan sembilan gol dalam 16 penampilan di liga utama.
Selain West Ham, Newcastle United juga dikatakan berminat dengan pemain tengah itu, bersama beberapa kelab di Eropah, namun pemain berusia 29 tahun itu memilih untuk menyertai Forest.