SHAH ALAM - Seorang pengurus rantaian bekalan, Ng Siang Nam diumumkan sebagai pemenang utama peraduan ‘MR. D.I.Y. x P&G Raya & Menang’ sekali gus membawa pulang sebuah peti sejuk jenama SMEG gaya retro yang diminati ramai.
Siang Nam, 37, Ng, dari Petaling Jaya mengakui gembira dengan kemenangan itu dan tidak menyangka dengan hanya membeli syampu serta pewangi kereta di MR D.I.Y, dia berjaya memiliki peti sejuk idamannya.
"Saya sangat teruja kerana telah memenangi hadiah utama peraduan ini. Saya tidaklah berbelanja begitu banyak di MR D.I.Y. dan hanya mahu mencuba nasib menyertai peraduan ini.
"Ini kali pertama dalam hidup saya memenangi hadiah utama dalam peraduan yang disertai sebelum ini, terima kasih kepada MR D.I.Y dan P&G,,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, peraduan ‘Beli & Menang’ adalah acara utama MR D.I.Y. yang dijalankan setiap tahun.
"Hasil kerjasama dengan Procter & Gamble Sdn Bhd (P&G), peraduan ini menjadi salah satu peraduan yang mendapat sambutan paling hangat daripada para pelanggan, dan tahun ini, kami menjadikan ia lebih istimewa dengan mengadakannya sempena Hari Raya Aidilfitri dengan tema ’Raya & Menang’.
"Kami ingin memastikan pelanggan bergembira dan menikmati lebih nilai semasa musim perayaan ini, jadi kami turut menawarkan hadiah mingguan. Semua ini adalah sebahagian dari usaha kami untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa mendapat nilai yang hebat di MR D.I.Y.” katanya.
Beliau berkata, peraduan ‘MR. D.I.Y. x P&G Raya & Menang’ menyaksikan 631 pelanggan bertuah membawa pulang hadiah mingguan bernilai lebih RM130,000, termasuk pengisar, komputer tablet, pengering rambut, ketuhar, pembakar roti dan telefon pintar dari jenama-jenama terkemuka, serta baucar tunai MR D.I.Y dan/atau MR. DOLLAR sebagai hadiah saguhati.
Peraduan ‘MR. D.I.Y. x P&G Raya & Menang’ telah diadakan dari 15 April hingga 31 Mei 2022 di cawangan-cawangan MR. D.I.Y. terpilih dan dalam talian di mrdiy.com.my.